malaysiakini logo
story-image
ADS

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Razali Ismail telah meletakkan jawatannya kira-kira dua minggu sebelum tempoh tugasnya berakhir.

Dilantik pada 2016, beliau sepatutnya menamatkan tempoh tiga tahun sebagai pengerusi pada 27 April.

Razali mengesahkan bahawa beliau telah menghantar surat letak jawatan kepada Yang di-Pertuan Agung Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, serta memaklumkannya kepada suruhanjaya itu.

"Saya sudah tiga tahun (di Suhakam). Saya fikir telah melakukannya dengan baik dan sekarang mahu membuat lebih daripda advokasi.

"Hak asasi manusia adalah kerja advokasi dan memadailah selepas suatu tempoh.

"Ia tetap satu advokasi. Ia tidak membawa perubahan besar di peringkat lapangan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata keputusannya meletakkan jawatan sebelum tempoh tugas berakhir kerana mahu memberi Suhakam lebih masa untuk membuat persediaan berkenaan pengerusi baru.

Suhakam di bawah Jabatan Perdana Menteri dan pengerusinya dilantik perdana menteri.

Razali yang merupakan bekas diplomat berkata beliau merancang untuk melakukan kerja-kerja di lapangan selepas ini.

"Saya ingin lakukan perkara yang lebih kecil, melihat kawasan yang lebih kecil, membantu dan mengupaya masyarakat.

"...Saya melihat diri sebagai orang Malaysia. Kini saya ingin membuat sesuatu di lapangan sebagai seorang warga Malaysia dan Melayu, dan membantu orang Melayu yang terpinggir," katanya lagi.

Di bawah pimpinan Razali, Suhakam menjadi pengkritik lantang terhadap pelanggaran hak asasi manusia, termasuk yang dikaitkan dengan kerajaan.

Lihat Komen