malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Proses salin dokumen makan masa, perbicaraan ditangguh
ADS

Hari kedua perbicaraan Najib Razak membabitkan tuduhan salah guna kuasa dana SRC International Sdn Bhd bermula lagi pagi ini.

Bekas perdana menteri itu dibicarakan di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Peguam bela Najib dijangka akan membuat pemeriksaan balas ke atas saksi pertama, seorang pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram

Terus ikuti perkembangannya melalui laporan secara langsung Malaysiakini di sini.


LANGSUNG

'Tanya peguam'

4.19pm: Najib keluar dari kompleks mahkamah sambil tersenyum. Beliau diiringi kira-kira sepuluh orang penyokong.

Beliau enggan mengulas ketika ditanya pemberita tentang perbicaraan hari ini.

"Saya tak mahu komen, tanya peguam kita," katanya lagi.

Perbicaraan disambung esok

4.17pm: Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan sehingga pukul sembilan pagi esok.

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram memaklumkan kepada mahkamah bahawa proses membuat salinan dokumen yang diperlukan pasukan pembelaan Najib mengambil masa lebih lama dari jangkaan.

"Proses salinan (fotostat) mengambil masa lebih lama dari dijangka, dan malah mungkin sehingga pukul lima petang," katanya.

Sebelum itu, peguam Najib, Harvinderjit Singh meminta perbicaraan ditangguh sementara kerana pembelaan memerlukan dokumen untuk menyediakan soal balas yang sepatutnya terhadap saksi kedua, pegawai eksekutif Bank Negara Azizul Adzani Abdul Ghafar.

Sejam berlalu dan proses menyalin dokumen masih belum selesai.

Najib luang masa membaca

3.15pm: Najib membaca buku sementara menunggu perbicaraan bersambung. Di tengah-tengah perbualan di galeri awam, bekas perdana menteri itu dilihat tekun membaca.

Pembelaan dakwa dokumen 'berterabur'

3.02pm: Perbicaraan ditangguh buat sementara waktu untuk membolehkan pasukan pembelaan Najib mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk soal balas dengan saksi kedua, Azizul Adzani Abdul Ghafar.

Peguam Harvinderjit Singh berkata dokumen mereka sedikit "berterabur" manakala dokumen pendakwaan disusun dengan lebih baik.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian membenarkan perbicaraan ditangguh sementara.

Terdahulu, ketika sesi soal balas oleh timbalan pendakwa raya Suhaimi Ibrahim, Azizul berkata dia menyerahkan senarai geledah dan dokumen berkaitan kepada pegawai eksekutif Bank Negara pada 7 Julai 2015.

Ia sehari selepas Azizul membuat penggeledahan di Ambank cawangan Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur, yang mana dia merampas dokumen berkenaan pembukaan akaun oleh Najib, SRC International dan Gandingan Mentari.

Perbicaraan bersambung

2.40pm: Najib kembali ke mahkamah dan menunggu di galeri awam.

Perbicaraan disambung dengan timbalan pendakwa raya Suhaimi Ibrahim meneruskan soal jawab dengan pegawai eksekutif Bank Negara Azizul Adzani Abdul Ghafar.

12.57pm: Selepas perbicaraan ditangguhkan, Najib kelihatan keluar untuk ke kereta disambut kira-kira 10 penyokong yang menunggu di anjung bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Mengiringi kemunculan Najib ialah laungan takbir serta seruan semangat seperti "lawan tetap lawan" dan "hancur kezaliman".

Mendengarkan jeritan itu Najib mengukir senyum dan bersalam dengan salah seorang penyokongnya sebelum masuk ke kenderaan.

Perbicaraan akan bersambung jam 2.30 petang.

12.35pm: Saksi kedua, pegawai eksekutif Bank Negara Azizul Adzani Abdul Ghafar, memberitahu mahkamah dia menyertai penggeledahan atas AmBank cawangan Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Menjawab soalan timbalan pendakwa raya Suhaimi Ibrahim, Azizul Adzani, 41, berkata dia dalam penggeledahan tersebut Bank Negara merampas lapan set dokumen berkaitan pembukaan akaun Najib Razak, SRC International, dan Gandingan Mentari.

Katanya penyertaan dalam penggeledahan itu dibuat selepas pegawai eksekutif Bank Negara Farhan Shahrudin melantiknya bagi menyiasat berhubung kesalahan disyaki berkaitan Akta Antipengubahan Wang Haram.

Menurut Azizul Adzani dia melakukan penggeledahan itu bersama tiga pegawai lain dan semasa di bank terbabit mereka bertemu dengan pengurus cawangan, R Uma Devi.

Selepas menyatakan secara lisan tujuan mereka datang, pegawai bank itu menyerahkan sejumlah dokumen dan ia kemudian direkodkan.

Shafiee (kiri) bersama Harvinderjit

Peguam bela Najib, Harvinderjit Singh, kemudian meminta perbicaraan ditangguhkan seketika bagi membolehkan pihaknya meneliti dokumen terbabit yang dikemukakan pendakwaan sebagai sebahagian daripada bukti.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan itu dan mengarahkan perbicaraan disambung pada 2.30 petang ini.

12.30pm: Saksi pertama Muhamad Akmaludin Abdullah yang juga pegawai kanan SSM selesai memberi keterangan kepada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Pegawai pendakwa kemudian memanggil saksi kedua, seorang eksekutif Bank Negara, Azizul Adzani Abdul Ghafar, 41.

Azizul ialah pegawai Bank Negara yang membuat penggeledahan ke atas AmBank cawangan Jalan Raja Chulan pada 2015.

11.13am: Prosiding berhenti sebentar selepas soal balas Harvinderjit, peguam Najib, terhadap saksi Akmaluddin.

Harvinderjit bertanya tentang kejanggalan dokumen yang menunjukkan pemindahan 999,998 saham dari SRC International kepada 1MDB Energy bertarikh beberapa bulan lebih awal ketika dokumen itu diterima SSM pada Ogos 2011.

9.43am: Perbicaraan bersambung dengan Sithamabaram memaklumkan kepada mahkamah, pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap permohonan pembelaan bagi meneliti dokumen yang diminta, termasuk berkaitan SRC.

Saksi, Timbalan Pendaftar SSM, Muhamad Akmaluddin Abdullah, akan memberi keterangan dengan menjawab soalan balas peguam bela Najib.

9.23am: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengarahkan penangguhan sementara bagi membolehkan peguam bela Najib melihat dokumen yang mereka minta daripada saksi pendakwaan, Muhammad Akmaluddin.

Permohonan penangguhan sementara itu dibuat peguam Harvinderjit Singh.

Sebelum itu Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram meminta mahkamah menentukan sama ada perlu bagi Akmaluddin menunjukkkan tiga dokumen diminta pasukan peguam bela pada hari pertama perbicaraan, 3 Apr lalu.

Ketua pasukan peguam bela Najib, Muhammad Shafee

Sithmabaram berkata arahan daripada hakim adalah untuk memastikan dokumen berkenaan relevan dan perlu.

Harvinderjit pula berhujah pihak pembelaan perlu melihat dokumen tersebut untuk menentukan sama ada ia relevan atau tidak, terutama bagi membolehkan mereka membela Najib.

9.13am: Hakim masuk untuk memulakan prosiding. Najib menghentikan bacaannya.

Berdepan tuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, Najib boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun, sebat atau denda lima kali ganda daripada jumlah suapan, atau RM10,000, bergantung mana yang lebih tinggi.

Mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, jika didapati bersalah beliau boleh dipenjara sehingga 15 tahun, denda sehingga RM15 juta atau lima kali ganda jumlah wang yang terlibat.

9.03am: Di dalam mahkamah, Najib duduk di kerusi barisan depan ruang awam dan menggunakan masa yang ada untuk membaca satu daripada dua buku yang dibawanya sementara menanti perbicaraan bermula.

Buku itu berjudul Dunia Tanpa Tembok tulisan Ayman Rashdan Wong yang berkisah mengenai kepentingan ilmu pengetahuan, bahasa sebagai simbolik dan geografi sebagai takdir.

Ketiga-tiga aspek itu penulis boleh meruntuhkan dinding-dinding yang memisahkan kemanusiaan.

9.01am: Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menaiki kereta Perdana berwarna hitam.

Beliau kelihatan ceria dan tersenyum serta sempat mengucapkan selamat pagi kepada pemberita ketika berjalan masuk ke bangunan mahkamah.

8.51am: Ketua pasukan peguam bela Najib, Muhammad Shafie Abdullah tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

8.52am: Peguam Negara Tommy Thomas memasuki Mahkamah Tinggi Jenayah 3 untuk mengetuai pihak pendakwaan.

Lihat Komen