malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Perlu pemangkin jika ECRL lalu Jelebu, Kuala Klawang'
Diterbitkan:  Apr 14, 2019 6:58 PM
Dikemaskini: 10:58 AM
ADS

Kerajaan perlu menyediakan pemangkin sekiranya mahu meneruskan pengubahan jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melalui Jelebu dan Kuala Klawang, kata seorang pakar pengangkutan awam.

Menurut Prof Dr Syahriah Bachok dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hal itu disebabkan dua kawasan tersebut merupakan kawasan luar bandar dan mempunyai populasi penduduk yang rendah.

“Jika jajaran baru tersebut hendak digunakan untuk kemudahan pengangkutan barang, ia tiada masalah, tapi bukan pengangkutan awam.

“Jajaran di Pantai Timur juga tiada masalah, tetapi jika ECRL nak masuk Jelebu dan Kuala Klawang, perlu sediakan pemangkin,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Menganggap jajaran baru yang diumumkan kerajaan memasuki kawasan ‘terlalu luar bandar’, beliau turut menyuarakan kekhuatiran tentang pulangan yang dapat dihasilkan melalui projek tersebut.

“Berbanding kereta api yang pernah saya turut serta dalam perancangannya, semua jajarannya tepat. 

"ECRL ini, jika tidak memasuki kawasan perumahan, maka pengguna masih perlu menggunakan kenderaan lain dahulu sebelum sampai ke stesen tersebut," katanya.

Malah beliau berkata projek ECRL sekiranya diteruskan perlu mendapat jumlah penumpang maksimum sehari untuk mendapatkan keuntungan.

“Jika tidak, mungkin sehingga tahun 2050, pulangan pelaburan itu tidak akan berjaya diperolehi,” katanya lagi yang penah turut serta dalam kajian projek kereta api seperti Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), KTM Komuter dan Prasarana Malaysia.

Kelmarin, dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan ECRL akan diteruskan dengan kos lebih rendah, membabitkan penjimatan sebanyak RM21.5 bilion menjadi RM44 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Menurut Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Daim Zainuddin pada kelmarin, projek itu diteruskan dengan memperkenalkan jajaran baru sepanjang 648km, iaitu 40km lebih pendek daripada jajaran asalnya.

Menurut laporan awal, fasa 1 projek itu sepanjang 688km sepatutnya akan menghubungi Lembah Klang dan Kuatan manakala fasa kedua pula dari Kuantan ke Kuala Terengganu.

Dalam fasa ketiga jajaran itu dipanjangkan ke Kota Bharu dan Tumpat.

Projek ECRL asalnya digerakkan Najib Razak yang ketika itu menjadi perdana menteri. Upacara pecah tanah untuk projek berkenaan dilakukan pada Ogos 2017.

Selepas PH membantuk kerajaan pada Mei tahun lalu, pelaksanaan projek ECRL dikaji semula selepas mendapati kos pembinaannya terlalu tinggi.

 

Lihat Komen