malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Bagaimana berniaga makanan jika anda berada di tingkat atas bangunan ketika pelanggan pula berada di bawah?

Pesanan juga sebaiknya tidak boleh dihantar dengan lengah.

Namun, bagi Mas Hayati Mohammed Ali, suri rumah itu mempunyai caranya yang tersendiri dengan berniaga melalui 'tali pandu lalu'.

Menurut peniaga yang dikenali sebagai Kak Mas itu, selepas menerima pesanan, dia akan menurunkan bakul berisi makanan menggunakan tali kepada pelanggan yang sedia menunggu di tingkat bawah.

Ketika ditemui Malaysiakini baru-baru ini, wanita berusia 52 tahun itu sedang menyiapkan pesanan makanan dari pelanggannya yang akan diturunkan pada jam 5 petang.

Selesai pesanan disiapkan, Mas Hayati mengisinya ke dalam bakul. Tepat jam 5 petang, kelihatan pelanggan yang menaiki kereta, motosikal dan berjalan kaki dari pelbagai lapisan umur sudah sedia menunggu di bawah bangunan itu.

Sebelum itu, Mas Hayati akan memakai sarung tangan kerana tangan akan tercedera atau melecet kesan menahan tali yang berat.

Sesudah itu, dia akan menurunkan bakul kosong terlebih dahulu bagi mengambil wang daripada pelanggannya dan seterusnya menurunkan makanan dari balkoni rumahnya sambil memberikan arahan.

“Tepi sikit, tepi sikit makanan dah sampai!” jeritnya dari tingkat empat pangsapuri itu.

Katanya, kebiasaannya pelanggan tersebut akan membayar ‘cukup-cukup’ tanpa perlu beliau mengembalikan baki.

Fikir cara kreatif kerana pernah jatuh

Mas Hayatin, 52 tahun berkata dia menjual makanan berasaskan keju iaitu makaroni dan kentang keju.

“Biasanya saya akan ambil pesanan pada sebelah malam atau pagi melalui kumpulan WhatsApp Group di (kawasan) taman saya ini dan jika ada pesanan saya akan buatlah.

“Biasanya setiap hari akan ada pesanan tapi saya hanya akan turunkan makanan pada sebelah petang kerana pagi saya mengasuh anak-anak jiran,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau turut berkongsi cara perniagaan cara kreatifnya itu telah dilakukan sejak empat tahun lalu apabila terjatuh tangga ketika menghantar pesanan pelanggan.

Malah katanya, beliau sememangnya sering menggunakan kaedah tali dan bakul bagi mengambil apa-apa barang yang tertinggal di kereta.

“Dari situlah, saya juga jaga anak orang, jika ada barang-barang anak jagaan saya tertinggal seperti pampers, botol susu, saya akan guna tali dan bakul itu,” katanya.

Bagaimanapun, kaedah jualannya menjadi tular apabila anaknya, Nadia Farhana Azham,22 memuat naik video cara perniagaan kreatif itu di media sosial.

Perkongsian video berdurasi 28 saat itu di akaun Twitter Selasa lalu diulang kicau sebanyak lebih 33,000 kali dan 23,000 yang menyukainya.

“Saya pun tak sangka selepas tular di media sosial ramai yang hubungi saya untuk order makanan, malah ada dari Batu Pahat pun ada,” katanya.

Anak kelahiran Kampung Baru itu berkata, beliau sentiasa bersemangat dalam berniaga apabila mengenangkan dua orang anaknya.

Selain itu, beliau juga memegang kata-kata ibunya seorang peniaga rendang bahawa jika kita lakukan sesuatu, tidak perlu mengharap bantuan orang lain.

“Ibu saya berusia 82 tahun dan masih berniaga rendang, dia tetap kuat menolak senduk dalam kawah.

“Saya pegang kata-kata dia dan itu salah satu sebab untuk saya terus bersemangat,” katanya.

 

Lihat Komen