malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kemenangan BN hasil politik Islam, kata Noraini
Diterbitkan:  Apr 14, 2019 9:14 AM
Dikemaskini: 1:20 AM
ADS

PRK RANTAU | Seorang pemimpin kanan Umno hari ini berkata kemenangan calon mereka di Rantau semalam menunjukkan bahawa pengaruh politik Islam semakin terserlah di negara ini.

Ketua Wanita Umno Dr Noraini Ahmad berkata hal itu terwujud hasil kerjasama erat di antara parti itu dan PAS.

"Kerjasama BN dan PAS yang semakin hari semakin kuat jelas memberi isyarat kepada penyokong kedua-dua parti untuk terus komited menjayakan sinergi politik ini," katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Semalam pemangku presiden Umno Mohamad Hasan mempertahankan kerusi yang diwakilinya sejak 2004 selepas mengetepikan tiga pencabar lain, termasuk calon PH, Dr S Streram.

Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan itu mengekalkan kerusi Rantau dengan majoriti 4,510 undi.

Untuk rekod sewaktu berseteru dulu PAS menganggap Umno sebagai parti kebangsaan dan sekular.

Umno pula menganggap PAS sebagai parti yang mempergunakan Islam untuk kepentingan politik.

Sebelum Rantau, pembangkang juga mengekalkan kerusi parlimen Cameron Highlands dan merampas kembali kerusi DUN Semenyih pada dua PRK yang terakhir.

Jasa dikenang orang

Sebagai perbandingan PH pula memenangi empat PRK terdahulu iaitu di Seri Setia, Sungai Kandis, Balakong dan Port Dickson.

Noraini berkata, kemenangan kali ketiga BN dalam PRK ini membuktikan kerjasama seluruh jentera Umno serta parti komponen dan rakan mereka seperti IPF, Makkal Sakti dan Kimma berada pada tahap cukup baik.

Dalam pada itu Noraini menyifatkan pengundi DUN Rantau berani menyatakan pendirian terhadap kegagalan kepimpinan kerajaan PH khususnya dalam menangani isu ekonomi dan kos sara hidup.

"Kemenangan BN juga membuktikan, faktor calon yang diterima semua segmen pengundi termasuk India dan Cina menjadi penyumbang kemenangan kepada parti," tambahnya lagi.

Sementara itu Naib Presiden Umno, Khaled Nordin, menyifatkan kemenangan Mohamad membuktikan rakyat Rantau mengenang jasa baik bekas menteri besar terbabit.

Katanya, ia juga turut memberi gambaran kerjasama BN dan PAS membesar secara organik sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan PH khususnya DAP.

"Jelaslah betapa jasa yang baik akan terus dikenang dan diingati oleh rakyat tanpa perlu dipaksa-paksa dan dimomokkan dengan ancaman fitnah dan taktik kotor yang menyerang peribadi.

"Masyarakat nampaknya mahu terus memberikan isyarat keras kepada kerajaan, bahawa, biar apa pun alasan yang digunakan untuk membalut kesilapan dasar dan keputusan mereka yang tidak menyebelahi rakyat, rakyat akhirnya boleh berfikir dengan matang dan menilai secara adil akan kegagalan PH," katanya.

Khaled berkata dengan kemenangan itu pembangkang harus terus bekerja keras untuk menyantuni dan membantu masyarakat yang dikecewakan oleh kerajaan PH.

Lihat Komen