malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib, Rosmah nafi beli berlian merah jambu - Peguam
ADS

Bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor tidak pernah membeli berlian merah jambu bernilai AS$23 juta, kata peguam mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini, peguam Rosmah, Geethan Ram Vincent dan K Kumaraendran berkata Najib dan Rosmah tidak pernah menerima berlian tersebut seperti yang didakwa pasukan siasatan jenayah pengubahan wang haram PDRM.

"Kami merujuk kenyataan polis pagi ini sebaik sebelum PRK Rantau bermula, yang merujuk kepada anak guam kami Datin Seri Rosmah Mansor.

"Kami ingin menyatakan bahawa Dato' Seri Najib Razak atau Datin Seri Rosmah Mansor tidak pernah membeli berlian merah jambu yang dikatakan itu.

"Dato' Seri Najib Razak atau Datin Seri Rosmah Mansor tidak pernah menerima berlian merah jambu itu," kata mereka.

Seperti yang telah disahkan polis, kata mereka lagi, berlian itu juga tiada dengan Najib dan Rosmah.

Pagi ini, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla), Khalil Azlan Chik dalam satu kenyataan berkata, jejak kewangan transaksi menunjukkan berlian merah jambu itu dibeli daripada tukang emas berpengkalan di New York.

Khalil menyebut kenyataan itu dikeluarkan berikutan penafian awal Rosmah membeli berlian merah jambu itu, sambil berkata: "Bukti yang terkumpul jelas membuktikan wujud transaksi pembeliannya."

Cincin bertatah berlian atau loket?

Walau bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan jika kenyataan Bukit Aman pagi ini merujuk kepada berlian merah jambu itu membawa maksud sebentuk cincin bertatah berlian merah jambu atau loket berlian merah jambu.

DOJ mendakwa berlian itu dibeli Jho Low untuk Rosmah yang dirujuk sebagai isteri Malaysian Official 1 (MO1).

Pada hari Isnin, Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah memberitahu Dewan Rakyat ejen jualan yang membawa berlian merah jambu dan barang kemas lain ke Malaysia untuk isteri seorang VVIP telah mengisytiharkan barang berharga itu dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Amiruddin juga dilaporkan berkata ejen itu turut mengisytiharkan barang berharga itu dengan jabatan itu apabila dia meninggalkan negara itu bersama berlian tersebut.

Walaupun timbalan menteri tidak menyebut secara khusus barangan berkenaan, namun ia dipercayai merujuk kepada cincin bertatah berlian.

Susulan itu Rosmah menegaskan kenyataan Amiruddin itu membuktikan beliau tidak terlibat dalam pembelian berlian merah jambu dan menyifatkan rakyat lebih suka percaya dengan fitnah berbanding kebenaran.

Dalam wawancara bersama Al-Jazeera tahun lepas, bekas perdana menteri itu berkata seorang putera UAE telah membelikan loket berlian merah jambu 22 karat untuk Rosmah, tetapi isterinya itu tidak pernah menerimanya.

DOJ mendakwa barangan kemas itu dibeli menggunakan wang AS620 juta yang dikatakan telah dipulangkan kembali kepada "penderma Saudi" yang sebenarnya merupakan syarikat yang dikawal Eric Tan Kim Loong, seorang proksi Low.

Malaysiakini telah menghantar pesanan teks kepada Khalil untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen