malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
5,906 rakyat Indonesia di Johor layak mengundi awal Pilpres Ahad ini
ADS

Seramai 5,906 warganegara Indonesia yang berada di Johor layak untuk mengundi awal, Ahad ini, bagi Pilihan Raya Presiden (Pilpres) dan Wakil Rakyat 2019 penggal 2019-2024.

Sekretaris Panitia Pemilihan Luar Negeri, Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru, Anang Fauzi Firdaus berkata proses pengundian awal di Tempat Pemungutan Suara (TPS) akan diadakan di KJRI Johor Bahru di Jalan Taat, Off Jalan Tun Abdul Razak, di sini, mulai 8 pagi hingga 6 petang.

“Buat masa ini persiapan untuk proses undian awal itu sedang giat dijalankan oleh kakitangan KJRI seperti memasang tenda (khemah), menyiapkan bilik suara dan sebagainya.

“Seramai 58 petugas juga sudah bersedia membantu melancarkan proses pengundian awal, Ahad ini,” katanya.

Anang Fauzi berkata pada Pilpres 2014, seramai sekitar 800 orang warganegara Indonesia menunaikan undi awal di KJRI dan untuk pengundian kali ini pihaknya berharap lebih ramai warganegara republik itu menunaikan tanggungjawab mereka.

Beliau dalam pada itu berkata, pada 8 April lepas, warganegara Indonesia di seluruh negeri ini yang menetap jauh dari KJRI Johor Bahru mula mengundi menggunakan Kotak Suara Keliling (KSK).

Proses undi melalui KSK berlangsung sehingga Ahad ini.

Katanya, seramai 74,466 orang direkodkan berdaftar sebagai pengundi KSK merangkumi pekerja ladang dan kilang.

“Seramai 1,284 orang pula berdaftar secara undi pos dan pihak KJRI sudah pun menghantar kiriman undi pos kepada mereka yang terlibat mulai 25 Mac lepas. Kesemua pengundi pos mula menyerah undi masing-masing sehingga 17 April ini,” katanya.

Dalam laporan sebelum ini, Timbalan Duta Besar Indonesia, Krishna K.U. Hannan berkata kira-kira 80 hingga 90 peratus daripada 1.5 juta pengundi berdaftar Indonesia yang berada di Malaysia akan mengundi pada hari pengundian awal di enam pusat pengundian termasuk di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching, Tawau dan Kota Kinabalu, Sabah.

Hari mengundi di Indonesia telah ditetapkan pada 17 April, iaitu lebih 192 juta rakyat Indonesia akan menentukan sama ada Joko Widodo (Jokowi) atau Prabowo Subianto yang akan menjadi pemimpin mereka bagi penggal 2019 - 2024.

Dalam Pilpres 2019, Presiden Joko Widodo (Jokowi) akan mempertahankan jawatan Presiden Indonesia untuk penggal kedua bergandingan dengan gandingan baharu Ma'ruf Amin, seorang ulama berpengaruh Indonesia, sebagai Naib Presiden manakala Prabowo, bekas ketua tentera akan bergandingan dengan bekas Timbalan Gabenor Jakarta, Sandiaga Uno.

--Bernama

Lihat Komen