malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Teras utama manifesto selamatkan negara sudah dilaksana - Gobind
ADS

Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo hari ini mengkritik pembangkang yang sering menyatakan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) gagal melaksanakan manifesto seperti dijanjikan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lepas.

Gobind yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata walaupun baru 11 bulan mentadbir, kerajaan PH sebenarnya sudah melaksana teras utama manifestonya bagi menyelamatkan Malaysia daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata ini terbukti, antara lain menerusi tindakan kerajaan menyelesaikan isu berkaitan agensi utama negara seperti Tabung Haji dan Felda.

"Kalau orang kata PH tidak laksana janji, tengok apa berlaku di Parlimen seminggu lepas, untuk Tabung Haji, Felda kita bangkitkan isu itu, kita janji akan bawa pembaikan, kita akan bawa pembaharuan dan akan membongkarkan apa salah laku yang dilakukan, dan kita akan perbaiki.

"Kita melaksanakan apa kita telah janjikan, memang ada beberapa perkara lain dalam manifesto yang kita perlu laksana dengan lebih lagi, tapi kita ada masa, ada lima tahun…dan saya minta kita semua yang ada di sini, kita semua bersatu padu. Selepas 11 bulan, kita masih kuat dan apa kita yang perlu lakukan adalah untuk bergerak ke hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah umum di Taman Seri Intan, Kampung Siliau, Seremban, malam tadi, yang turut dihadiri Ketua Umum PH Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Gobind turut menarik perhatian bahawa walaupun dalam tempoh singkat, kerajaan PH mempunyai pemimpin yang bersih dan tidak mengamalkan rasuah, serta sentiasa berusaha memastikan wang dan dana di negara ini digunakan untuk rakyat Malaysia dan bukannya kepada kroni.

"Itu kita mahu, kerajaan yang ada perbezaan dengan Barisan Nasional (BN).

"Kita ada pilihan, kita tunjukkan bahawa kita ada pemimpin, bukan sahaja pemimpin bersih, tetapi pemimpin yang ambil langkah-langkah berusaha untuk membersihkan, memperbaiki ekonomi dan mengangkat taraf kehidupan rakyat Malaysia, itu kerajaan PH," katanya.

Berbeza dengan kerajaan terdahulu, beliau berkata kerajaan yang sudah memerintah negara selama 61 tahun itu mewariskan sebuah negara dan negeri yang mempunyai masalah kewangan sangat besar.

"…apabila mereka jadi kerajaan, maka berlaku semua skandal ini, berlaku semua kekurangan ini, berlaku kerosakan sehingga memberi akibat yang (membawa) padah kepada agensi seperti Tabung Haji dan Felda," katanya.

Beliau berkata kerajaan PH juga komited untuk membina sebuah negara yang membolehkan rakyat bangga menjadi anak Malaysia dan tidak mahu isu perkauman serta agama sering dibangkit dan diapi-apikan.

PRK DUN Rantau pada Sabtu ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH Dr S. Streram, calon BN Mohamad Hasan dan dua calon Bebas, suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.


-- Bernama

Lihat Komen