malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rantau: SPR tak berat sebelah - Azhar
Diterbitkan:  Apr 12, 2019 1:17 PM
Dikemaskini: 5:17 AM
ADS

PRK RANTAU | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan pihak tertentu yang menuduh suruhanjaya itu bersikap ‘berat sebelah’ dan hanya menguatkuasakan undang-undang terhadap satu parti sahaja sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata setakat ini, Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya telah menerima 16 laporan kesalahan berkaitan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang melibatkan kedua-dua parti.

"Ia melibatkan lapan kesalahan daripada parti A dan lapan lagi parti B, semua sama rata, bukan terhadap parti A sahaja atau parti B sahaja, ini adalah fakta…kami SPR adalah satu institusi yang adil,” katanya selepas meninjau proses semakan isi peti undi dan agihan peralatan mengundi kepada Ketua Tempat Mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bandar Sri Sendayan di Rantau hari ini.

Beliau berkata antara 16 kesalahan itu melibatkan kempen tanpa permit serta pemasangan gegantung yang tidak mengikut peraturan.

Bagaimanapun, Azhar Azizan berkata SPR tidak bercadang untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap pihak yang membuat tuduhan itu sebaliknya hanya menasihatkan pihak terbabit menghentikan perbuatan tersebut.

Dalam pada itu, Azhar Azizan berkata perjalanan kempen PRK DUN Rantau bagi tempoh 13 hari berjalan lancar.

Beliau juga menjangkakan keputusan penuh PRK itu dapat diumum kira-kira 10 malam esok atau lebih awal.

Sebanyak 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran dibuka 8 pagi hingga 5.30 petang esok bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu.

Sebanyak 20,793 pengundi biasa layak mengundi, selepas 96 peratus daripada 110 pengundi awal terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjalankan tanggungjawab masing-masing Selasa lepas.

Proses pengiraan undi akan dilakukan di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Sri Sendayan.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas, suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

- Bernama

 

Lihat Komen