malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu MB Johor: Politik mesin hawa nafsu masih bermaharajalela
ADS

ULASAN | Osman Sapian meletakkan jawatan menteri besar Johor. Demikian disahkan oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Apakah komen yang kita terima daripada perletakan jawatan itu.

A Kadir Jasin berkata tindakan Sapian demi kebaikan rakyat Johor.


Baca berkaitan: Kenapa Osman tak sesuai jadi MB Johor


Kenyataan beliau dalam Malaysiakini ialah: “Apa guna mereka bermegah-megah dengan slogan dan identiti negeri kalau mereka tidak ada digniti. Orang Johor berhak mendapat menteri besar yang mampu menaikkan maruah mereka. Menteri besar yang mewakili keseluruhan rakyat jelata Johor dan bukan kelompok tertentu."

Tambah beliau lagi, “tetapi hak itu akan menjadi tidak berguna dan akhirnya hilang apabila wakil yang mereka pilih berubah daripada menjadi wakil rakyat kepada boneka pihak-pihak tertentu."

“Beliau tidak mentadbir Johor berasaskan suara majoriti, tetapi terus tunduk kepada kepentingan sempit golongan elit dan berduit."

Bersatu Johor mungkin terlepas

Terdahulu dalam artikel The Star pada 8 Disember 2018, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa terdapat langkah daripada seorang individu ingin menjatuhkan Osman sebagai menteri besar.

Osman, yang merupakan ahli dewan undangan negeri (Adun) Kempas dan pengerusi negeri bagi Bersatu telah menerima kritikan daripada pelbagai pihak berhubungan isu Pulau Kukup.

Tidak dipastikan adakah yang dimaksudkan Tunku Mahkota Johor itu ialah ahli Majlis Tertinggi Bersatu A Kadir Jasin.

Saya juga tertarik kepada komen kedua yang dibuat oleh saudara Abdullah Fahmin dalam Malaysiakini.


Baca berkaitan:

Johor tersepit antara Mahathir dan Anwar

'Fitnah Anwar cuba ambil kesempatan di Johor'


Jelasnya pergelutan politik ini dilihat bukanlah antara calon antara parti untuk jawatan menteri besar Johor, tetapi antara percaturan dan pengaruh Dr Mahathir, Anwar Ibrahim dan istana.

Abdullah menerangkan walaupun calon Bersatu ini mungkin lebih berkualiti berbanding Osman dan calon menteri besar PKR, keadaan seakan tidak menyebelahi Bersatu Johor. Dan Bersatu Johor mungkin akan terlepas.

Beginilah dinamika politik, calon yang berwibawa dan berkualiti, mungkin akan gagal dinobatkan sebagai menteri besar kerana faktor pengaruh elit politik.

Ada dua bentuk wacana daripada pandangan yang dikemukakan oleh penulis ini iaitu pertama dakwaan Kadir bahawa bekas menteri besar tidak komited berkhidmat kepada rakyat dan beliau menjadi boneka kalangan elit tertentu.

Wacana kedua ialah pergelutan politik di Johor adalah merupakan tarik tali belakang tabir antara tiga pihak dalam PH iaitu dari kem Mahathir, Anwar dan melibatkan pihak istana.

Sejauh manakah peranan Osman dalam memperjuangkan hak rakyat jika dikaitkan dengan isu Sungai Kim-Kim dan status Pulau Kukup akan kekal sebagai Taman Negara Johor meskipun dimasukkan ke Jadual ke II Enakmen Tanah Kesultanan?

Atau Osman adalah mangsa tarik tali antara pihak-pihak tertentu di Johor?

Jika wujudnya unsur-unsur membelakang rakyat demi menjaga kepentingan tertentu atau main catur di belakang tabir antara dua atau tiga pihak, ini bermakna ia bukan lagi pertimbangan rasional demi rakyat tetapi keputusan hasrat yang mengambil alih.

Hasrat yang mengutamakan kepentingan pihak tertentu dengan mengesampingkan rakyat yang mengundi kemenangan PH dalam pilihan raya lepas.

Daripada apa yang saya lihat nampaknya politik hasrat masih bermarajalela dalam era PH ini. 

Walaupun tidak dinafikan politik memerlukan hasrat untuk berkuasa tetapi jika hasrat untuk memenuhi kumpulan tertentu atau pergelutan berlaku dari pihak-pihak tertentu dari belakang tabir, apalah ertinya harapan rakyat kepada sebuah pakatan ini.

Konsep mesin hasrat

Saya teringat pula kepada sebuah buku karya Felix Guattari “The Molecular Revolution" menggunakan istilah mesin untuk dikaitkan dengan hasrat atau hawa nafsu.

Kenapakah Guattari menggunakan konsep mesin itu? 

Ini kerana bagi beliau mesin adalah menghasilkan produk atau akan terus menghasilkan produk (tidak kira yang boleh dilihat atau sebaliknya) secara berterusan sehinggalah ia diganti setelah rosak.

Pandangan Guatatri ialah konsep mesin akan terus menghasilkan produk secara pengulangan dan dikuasai oleh kekuasaan tunggal (mungkin merupakan sang kapitalis dalam korporat dan industri atau nafsu syahwat) demi mencapai tujuan tertentu dan untuk memberikan kesan tertentu.

Maka mesin hasrat beroperasi lagi. Mesin ini akan terus memproses hasrat yang tidak mengutamakan rakyat. Jika tidak dikawal, ia menjadi mesin hawa nafsu yang obses kuasa tiada sempadannya.

Politik hasrat adalah hawa nafsu atau “the desiring machine’ yang diamalkan oleh elit pemerintahan lepas yang dapat dilihat dalam kes Felda dan Tabung Haji.

Ini kerana politik hawa nafsu ini adalah mesin tenaga libido iaitu naluri tidak sehingga yang telah membawa negara ke kancah hutang kronik dengan amalan kleptokrasi.

Situasi ketidakpuasan abadi inilah yang menjadi dasar kepada hasrat, hawa nafsu dan naluri menjadi mesin yang beroperasi dengan semahunya.

Ini kerana hasrat yang tanpa akhir ini sentiasa menemukan hubungannya yang gelap pekat dan hitam dengan mesim-mesin kekuasaan dalam negeri dan negara.

Kemelut kepimpinan di Johor diharapkan tidak terjebak oleh pergulatan mesin hasrat dan politik nafsu yang membelakangkan kepentingan rakyat dan bukannya memenuhi kepentingan pihak-pihak tertentu.


ISMAIL HASHIM YAHAYA ialah pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).

Ulasan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen