malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PBB gesa bertenang selepas tentera gulingkan presiden Sudan
Diterbitkan:  Apr 12, 2019 12:18 PM
Dikemaskini: 4:18 AM
ADS

GLOBAL | Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengulangi gesaannya "agar semua pihak bertenang" di Sudan selepas pemimpinnya yang memerintah negara itu sejak sekian lama, Omar al-Bashir digulingkan tentera, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap PBB pada Khamis.

Guterres berkata aspirasi demokratik rakyat Sudan akan direalisasi menerusi satu proses peralihan yang sesuai dan menyeluruh, menurut jurucakapnya, Stephane Dujarric.

Beliau mengesahkan bahawa PBB sedia membantu rakyat Sudan semasa mereka melakar satu sejarah baharu pada masa depan, kata Dujarric.

Ditanya sama ada PBB telah menghubungi pihak berkuasa baharu di Khartoum, Dujarric berkata: "Saya belum mendapat maklumat terkini berkaitan perkara itu dari pejabat kami… namun saya yakin ia akan dilakukan secepat mungkin."

Terdahulu, Menteri Pertahanan Sudan Awad Mohamed Ahmed Ibn Auf dalam satu kenyataan menyebut bahawa tentera Sudan telah menggulingkan Presiden Omar al-Bashir dan kerajaannya.

Beliau juga berkata satu majlis tentera transisi akan dibentuk bagi mentadbir negara itu semasa tempoh peralihan selama dua tahun.

Sejak 19 Dis tahun lepas, Sudan telah menyaksikan tunjuk perasaan popular terhadap kemelesetan ekonomi dan kenaikan harga komoditi asas.

- Bernama

Lihat Komen