malaysiakini logo
story-image
ADS

PRK RANTAU | Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika turun ke Rantau berkempen untuk BN menyifatkan pendekatan kerajaan PH ketika berbahas di parlimen sebagai menggunakan "falsafah Pak Pandir".

Beliau berkata demikian ketika menggambarkan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang juga merupakan calon PRK Rantau sebagai pemimpin yang "kuat".

"(Apabila) berbahas di parlimen, (PH kata) 'tanyalah kerajaan dulu'.

"(PH) macam Pak Pandir. 'Bukan anak aku mati anak orang lain mati juga' ini falsafah Pak Pandir.

"Tidak boleh politik Pak Pandir memerintah negara kita. Pilih calon yang kuat, jangan pilih calon yang gagal," katanya pada ceramah di Taman Angsamas, semalam.

Pak Pandir merupakan watak dalam kisah dongeng Melayu yang sering menyebabkan diri dan keluarganya dalam masalah kerana sikap dan tindakannya yang tidak cerdik.

Untuk rekod, PAS mempunyai sokongan yang dianggap kecil di Rantau. Data parlimen menunjukkan hanya 4.5 peratus pengundi Rantau memberi sokongan undi kepada PAS berbanding BN (45.6 peratus) dan PH (48 peratus).

Meskipun jumlah itu dilihat tidak banyak, sekiranya pengundi Rantau mengundi sama seperti tahun lalu, jumlah berkenaan akan menjadi penentu dalam saingan sengit.

Kira-kira 3,000 hadir dalam ceramah bersama BN dan PAS semalam.

Kehadiran penyokong pada ceramah PRK kali ini tidak boleh dijadikan petunjuk jumlah sokongan sebenar kerana ia turut terdiri daripada penyokong yang bukan pengundi Rantau.

PRK DUN Rantau esok menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Mohamad, calon PH, Dr S Streram, dan dua calon Bebas, suri rumah, R Malarvizhi dan bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin.

Lihat Komen