malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tinjauan: BN dijangka menang, Tok Mat lebih wibawa
Diterbitkan:  Apr 11, 2019 9:34 PM
Dikemaskini: 1:34 PM
ADS

PRK RANTAU | Badan pemikir Ilham Centre menjangkakan BN akan menang pada pengundian yang bakal berlangsung Sabtu ini, berdasarkan tinjauan melibatkan 396 pengundi tempatan.

Dalam suatu kenyataan hari ini, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Azlan Zainal berkata tinjauan itu menunjukkan 24.5 peratus pengundi PH beralih menyokong BN, berdasarkan perbandingan menggunakan keputusan PRU14 bagi kawasan parlimen Rembau.

Azlan berkata 81.6 peratus responden mendapati calon BN Mohamad Hasan lebih berwibawa

"Tok Mat ternyata unggul dan diterima oleh semua segmen pengundi termasuk pengundi India dan Cina.

"Trek rekod beliau sebagai menteri besar dan Adun Rantau selama tiga penggal serta anak jati Rantau memberi kelebihan besar dalam kempen pilihanraya kecil ini, dapatan menunjukkan seramai 87.4 peratus responden bersetuju dengan faktor ini.

"Responden juga bersetuju bahawa Tok Mat mempunyai kredibiliti yang lebih tinggi sebanyak 81.6 peratus berbanding calon PH, Dr S Streram 17.7 peratus dan lain-lain calon," kata Azlan.

Responden umumnya memiliki pandnagan negatif terhadap pentadbiran PH, kata tinjauan itu, khususnya dalam isu kos sara hidup, kegagalan melaksanakan janji pilihan raya, prestasi lemah kerajaan negeri PH dan tanggapan hak-hak Melayu Islam tidak dilindungi, jelas Azlan lagi.

Tinjauan itu juga menunjukkan pengundi India terpecah kepada dua.

"Antara faktor yang menyumbang dapatan ini adalah faktor populariti Tok Mat dan S Streram pula dilihat orang luar yang kurang dikenali.

"Sebaliknya pengundi India di sini lebih mengenali R Tanggam, Ketua Cabang PKR Rembau," katanya lagi.

Azlan berkata terdapat rasa kecewa di kalangan pengundi India mengenai prestasi kerajaan negeri.

Sementara itu, Ilham Centre juga berkata empat parti komponen PH tidak menyelaraskan kempen mereka seperti jentera BN.

"Kempen PH nampaknya terlalu bergantung kepada Anwar Ibrahim dalam memobilisasi gerakan kempen di sini.

"Siri-siri kempen pimpinan PH yang lain tidak memberikan impak besar kepada pengundi.

"Ini ditambah pula jentera PH banyak digerakkan oleh jentera luar berbanding jentera BN yang lebih banyak digerakkan oleh orang tempatan yang diketuai oleh Tok Mat sendiri.

"PH pula terlalu menumpukan isu-isu pra pilihanraya umum ke-14 dan tidak dilihat sebagai sebuah parti Kerajaan," jelasnya lagi.

 

Lihat Komen