malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP BN, PAS sokong Kertas Putih Felda
Diterbitkan:  Apr 10, 2019 9:01 PM
Dikemaskini: 1:01 PM
ADS

PARLIMEN | Pembangkang BN dan PAS menyokong Kertas Putih Felda yang dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali hari ini.

Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) berkata beliau menyokong kesediaan kerajaan untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM6.23 bilion bagi membantu Felda.

"Saya sokong RM6.23 bilion diberikan dengan segera kepada Felda dan ini perlu diberikan keutamaan.

"Cuma menteri bagilah pengiktirafan dalam konteks politik apa yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

"61 tahun telah buktikan (Felda) telah berjaya membantu masyarakat Melayu, Cina dan India yang tidak memiliki tanah," katanya pada sesi perbahasan laporan Kertas Putih Felda di Parlimen, hari ini.

Sebelum itu, pada sebelah pagi Azmin bagi pihak kerajaan membentangkan laporan Kertas Putih Felda sekaligus mendedahkan kepincangan pentadbiran terdahulu terhadap pentadbiran Felda.

Seramai 17 anggota parlimen membabitkan wakil kerajaan dan pembangkang telah mengambil bahagian pada sesi perbahasan.

Usul berkenaan diluluskan di Dewan Rakyat pada sebelah petang .

Tak boleh ungkap kesilapan lama

Jalaluddin Alias (BN - Jelebu) pula mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana berjaya membentangkan Kertas Putih berkenaan.

"Yang salah, tetap salah, yang betul tetap betul, cuma saya nak hendak beri pandangan kepada yang berhormat menteri jangan lupa masalah yang dihadapi peneroka (harga komoditi).

"Ini perlu diberi keutamaan," katanya.

Seorang lagi wakil pembangkang, Awang Hashim berkata PAS menyokong Kertas Putih yang dibentangkan kerajaan hari ini.

Katanya, PAS mengakui kelemahan tadbir urus yang berlaku dalam Felda oleh pentadbiran lama, namun semua pihak perlu bersama dalam menangani isu berkenaan.

"Walau macam mana pun, bila berlaku pasti ada kewujudannya (punca). Macam itulah Felda ia ada kerosakan bila sudah lama.

"Untuk melangkah ke hadapan kita tidak boleh terus ungkap kesilapan lama," katanya.

Lihat Komen