malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Felda: Bukan saya tapi Najib kena jawab - Ahmad Maslan
ADS

PARLIMEN | Dewan Rakyat hari ini gamat apabila Ahmad Maslan (BN-Pontian) menjadi 'sasaran' Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali (PH-Gombak) ketika sesi penggulungan perbahasan laporan kertas putih Felda.

Azmin ketika sesi penggulungan itu menyifatkan Ahmad sebagai wakil rakyat yang berfantasi dan cuba mengelirukan fakta berhubung laporan kertas putih mengenai lembaga kemajuan tanah persekutuan itu.

Bagaimanapun, pada sesi perbahasan Ahmad bangkit mempertahankan kenyataannya, berkata ia diutarakan berdasarkan fakta yang terkandung dalam laporan berkenaan.

Menurut Ahmad, beliau tidak membawa cerita dongeng dan FGV hanya mengalami kerugian selepas PH mengambil alih kerajaan.

“Saya dah sebut, dari 2012 hingga 2017 FGV untung, boleh semak, saya bukan cerita donggeng, dia (FGV) rugi tahun 2018.

“Begitu juga Khazanah, Langkawi, 10 tahun sudah semua untung, tiba-tiba 2018 rugi,” katanya.

Kawan baik MP Gombak

Anggota parlimen Gombak seterusnya berhujah dengan mengkritik bekas perdana menteri, Najib Razak mengenai pembelian Eagle High daripada PT Rajawali Capital International yang merugikan Felda.

Ahmad sekali lagi menjadi sasaran Azmin apabila memintanya supaya menjawab isu berkenaan: "Pontian sila jawab."

Bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu bingkas bangkit dan berkata: " Itu kerja (anggota parlimen) Pekan untuk menjawab."

"(MP) Gombak (Azmin Ali) ini kawan baik saya, dulu duduk satu pejabat yang sama, tak adilah buli Pontian di sini," tambah Ahmad lagi yang membuatkan Dewan Rakyat gamat.

Sebelum itu, ketika sesi perbahasan berkenaan kertas putih Felda pagi tadi, Ahmad mendapat kejutan apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad (PH-Langkawi) bangkit mencelah.

MP Langkawi secara sinis mempersoalkan mengapa Ahmad tidak pernah mengemukakan cadangannya untuk memperbaiki Felda era "bossku", dipercayai merujuk kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak.

“Sebagai wakil rakyat Langkawi, saya kagum dengan cerita-cerita dongeng disampaikan (di Dewan Rakyat).

“Yang saya hairan kenapa dia tak beri tahu kepada ‘Bossku’ lamanya supaya hari ini kita tidak ada masalah dan tidak ada Kertas Putih (Felda), semua bersih belaka.

“Tapi penyangak-penyangak ini telah meninggalkan bekas-bekas mereka dan kita perlu bersihkan. 

"Begitu banyak untung FGV ini, berbilion-bilion, tolong tunjuk di mana duit itu berada,” kata Mahathir.

Lihat Komen