malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Azmin usul speaker ambil tindakan berat pada Najib
ADS

PARLIMEN | Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengemukakan usul kepada speaker Dewan Rakyat supaya mengambil tindakan berat terhadap Najib Razak kerana telah mendedahkan dokumen laporan kertas putih Felda semalam.

"Awal pagi tadi saya kemukakan satu usul supaya tindakan keras diambil terhadap (wakil rakyat) Pekan (Najib Razak). 

"Ini satu kesalahan besar. Kepada (MP) Pekan mungkin (dia anggap) kesalahan kecil," katanya.

MP Gombak itu berkata, dokumen yang dibekalkan kepada anggota parlimen itu sepatutnya diembargo sehingga ia dibentangkan hari ini.

"Bagaimana seorang bekas perdana menteri boleh lakukan bagi membocorkan dokumen yang diembargo sehingga hari ini.

"(Dokumen berkenaan) dibocorkan semalam," katanya di parlimen hari ini.

Semalam, Najib di Facebooknya memuat naik sebahagian laporan kertas putih Felda yang menyebut wujudnya "Put Option", iaitu hak menjual saham pada harga yang ditentukan dalam tempoh yang ditetapkan.

Kata Najib dalam hantaran di Facebooknya, tuduhan dimedia dan laporan polis ialah beliau didakwa telah menipu Felda untuk membeli syarikat Indonesia Eagle High Plantations dan menyebabkan kerugian berbilion.

Bagaimanapun apa yang ditulis di dalam kertas putih Felda ialah pulangan minima 6 peratus setiap tahun daripada pembelian berkenaan tidak cukup tinggi.

Najib yang mempertahankan syarikat Indonesia itu menyifatkan pelaburan itu tidak merugikan.

Sementara itu Azmin ketika menggulung pembetangan laporan kertas putih Felda "menyerang" Najib kerana tidak berada dalam Dewan Rakyat ketika beliau membahaskan isu berkenaan.

Beliau menyifatkan anggota parlimen itu tidak memiliki "kejantanan" untuk berhadapan dengannya di Dewan Rakyat bagi membahas isu berkenaan.

"Yang Berhormat Pekan tidak ada kejantanan untuk berdepan Gombak di Parlimen," kata Azmin.

Najib di laman Facebooknya menjawab Azmin berhubung ketiadaannya di Dewan Rakyat hari ini.

"Minggu ini saya hampir tiap-tiap hari di mahkamah termasuk hari ini di mana mahkamah sekali lagi tolak permintaan saya untuk mendapat dokumen-dokumen penting untuk pembelaan saya.

"Lepas tu, PH tanya pulak mengapa saya tak ada di Dewan Rakyat," katanya.

Lihat Komen