malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mohd Amar: PAS berkecuali bukan hal besar
Diterbitkan:  Apr 10, 2019 5:14 PM
Dikemaskini: 9:14 AM
ADS

Keputusan anggota parlimen PAS untuk berkecuali dengan cadangan kerajaan untuk meminda perlembagaan bagi mengembalikan status Sabah dan Sawarak bukan perkara besar, kata Naib Presidennya, Mohd Amar Nik Abdullah.

Sebaliknya kata beliau, gabungan parti pembangkang Sarawak yang tidak menyokong pindaan itu mungkin disebabkan ada perkara yang tidak boleh terima.

"Apa yang menarik Gabungan Parti Sarawak (GPS) sendiri tak menyokong, gabungan pembangkang Sarawak tak sokong. Mungkin ada sesuatu yang mereka tak puas hati dengan pindaan tersebut.

"Jadi kalau kita (PAS) berkecuali, tidak besar bagi kita. Perkara itu (hal) Sabah dan Sarawak, tetapi GPS sendiri berkecuali. 

"Ini sepatutnya disoroti oleh media, tanya mereka," katanya kepada media selepas menyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ni.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan wartawan mengenai sebab 18 ahli parlimen PAS memilih untuk berkecuali ketika sesi undian belah bagi di Dewan Rakyat, semalam.

Tiada bantahan, 59 berkecuali

Terdahulu, usul itu hanya gagal diluluskan apabila tidak mendapat sokongan dua per tiga daripada anggota Dewan Rakyat.

Mengikut keadaan semasa PH memerlukan sokongan 148 anggota parlimen bagi meluluskan pindaan tersebut.

Bagaimanapun ketika undian dijalankan hanya 138 anggota parlimen menyokong manakala 59 lagi berkecuali. 

Tiada mana-mana anggota parlimen membantah cadangan tersebut.

Selepas undian disahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof berkata, rang undang-undang itu tidak boleh diteruskan pada peringkat kedua.

Menurut sumber Malaysiakini, anggota parlimen yang bersikap berkecuali semasa undian dijalankan ialah dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), BN dan PAS. 

Sementara itu Mohd Amar berkata beliau sendiri tidak mengetahui secara terperinci sebab-sebab wakil rakyat PAS memilih untuk berkecuali.

"Saya tak tahulah sebab benda ini berbincang di peringkat parlimen, saya banyak masa di sini.

"Kita berkecuali ini biasa, tiada masalah apa sebab itu hak. Dalam parlimen ini sama ada kita bersetuju, menolak atau berkecuali. Jadi kita memilih berkecuali, itu hak kita," ujarnya.

Lihat Komen