BERITA

FGV, FIC punca utama masalah Felda

10 Apr 2019, 9:03 am

Dikemaskini 2 tahun lepas

A
+
A
-

KERTAS PUTIH | Keputusan perniagaan buruk oleh Felda Global Ventures Bhd (FGV) dan Felda Investment Corporation (FIC) merupakan punca utama masalah aliran tunai yang dihadapi Felda kini.

Menurut Kertas Putih Felda, lembaga itu - melalui syarikatnya FGV dan FIC - melakukan pelaburan 'agresif' dan 'tidak terkawal' yang tidak memberi pulangan seperti dijangka.

"Keputusan dibuat tanpa perancangan atau 'due diligence', yang mendedahkan Felda dan FIC kepada risiko kerugian ekoran pelaburan dalam syarikat yang tidak strategik," menurut dokumen itu.

Kertas Putih itu - yang melihat kedudukan kewangan Felda dari 2007 hingga 2017 - berkata Felda mencatat keuntungan sehingga 2012.

Pada 2012, Felda membuat penyenaraian FGV di Bursa Malaysia yang menjana RM10.5 bilion - Tawaran Permulaan Awam (IPO) kedua terbesar untuk tahun itu.

Bahagian Felda daripada jumlah itu adalah RM6 bilion. Daripada jumlah itu, Felda hanya melaburkan RM1.4 bilion, atau 24 peratus, sementara bakinya digunakan untuk perbelanjaan seperti bonus RM1.6 bilion kepada peneroka pada 2012.

Ketika itu ada pihak mendakwa langkah itu sebagai cubaan membeli undi.

Dana tersebut dikatakan membantu perkembangan Felda dan menyelesaikan isu seperti mendanai skim untuk menggantikan pokok sawit yang sudah tua.

FGV juga sepatutnya terlibat dalam perladangan, logistik dan industri hiliran sebagai sinergi kepada perniagaan Felda.

 Syarikat itu bagaimanapun menggunakan RM4.5 bilion daripada wang yang diraih ketika IPO, dan menggunakan 73 peratus (RM3.3 bilion) untuk dilaburkan ke dalam syarikat yang tidak membuat keuntungan.

Bakinya digunakan untuk kos operasi. 

Kertas Putih itu tidak menyatakan secara terperinci berkenaan FGV, yang sahamnya merosot 71.2 peratus daripada harga ketika penyenaraian iaitu RM4.55.

Berkenaan FIC - syarikat pelaburan milik penuh Felda, Kertas Putih menyatakan ia membelanjakan wang Felda untuk sektor bukan perladangan seperti hospitaliti dan hartanah.

Felda malah turut menceburkan diri dalam industri jalur lebar internet.

Bagaimanapun kedaan paling buruk FIC terkandung dalam rumusan audit forensik terhadap lapan pelaburannya. Audit dilakukan oleh Ernst & Young, yang diarahkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang kini memantau Felda.

Audit forensik itu meliputi antaranya pembelian saham syarikat Indonesia PT Eangle High Plantations TBK, urus niaga hartanah di UK, dan syarikat farmaseutikal yang kini sudah tiada, Felda Wellness Corporation Sdn Bhd.

Kelemahan yang dinyatakan dalam audit itu termasuklah pembayaran melebihi harga pasaran, kegagalan memaklumkan lembaga pengarah Felda berkenaan keputusan pelaburan, amalan perakaunan yang teruk, pengabaian laporan risiko, dan pencabulan dasar pelaburan Felda.

Kertas Putih tidak meletakkan kesalahan secara spesifik kepada mana-mana individu berkenaan kegiatan FGV dan FIC. Bagaimanapun dokumen itu menyatakan kedudukan Isa Samad selaku pengerusi lembaga Felda, FIC dan FGV sebagai konflik kepentingan.

 "Situasi ini akan menimbulkan konflik kepentingan dan salah laku tadbir urus yang akan mendorong kepada amalan dan etika kerja yang tidak berintegriti," kata dokumen itu.

Menurut Kertas Putih itu lagi, kegagalan FGV menjana pendapatan tahunan RM800 juta seperti jangkaan sebelum IPO, serta kejatuhan harga minyak sawit, menyebabkan Felda menanggung kerugian sejak 2013.

Kata dokumen itu lagi, kejatuhan harga sawit bukanlah satu-satunya punca kerugian Felda kerana lembaga itu menjana keuntungan pada 2008 ketika harganya sama seperti 2017. Pada 2017, Felda mencatat kerugian terburuk - RM4.9 bilion.

Ia juga menyatakan hutang Felda meningkat daripada RM0.1 bilion pada 2007 kepada RM12.1 bilion pada 2017. Pada tahun itu, hutang Felda telah melebih jumlah asetnya.

[Baca berita asal]

Berita berkaitan:

Lapan transaksi Felda di bawah penelitian

Peneroka jadi tuan tanah dengan model baru Felda

Kerajaan setuju suntik lebih RM6 bilion untuk pulih Felda

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen