malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peneroka jadi tuan tanah dengan model baru Felda
Diterbitkan:  Apr 10, 2019 3:22 PM
Dikemaskini: 9:10 AM
ADS

KERTAS PUTIH | Felda akan memperkenalkan model perniagaan baru di mana lembaga itu akan menyewa dan menggunakan tanah daripada peneroka secara jangka panjang.

Pelan itu juga melibatkan tanaman alternatif kepada getah dan kelapa sawit - dua tanaman utama Felda sejak ia ditubuhkan.

Menurut Kertas Putih Felda yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini, model baru itu akan membolehkan tanah peneroka yang sudah berusia diusahakan dan memberi pendapatan kepada mereka.

"Pengenalan model baru ini akan membolehkan tanah peneroka diusahakan secara cekap, berskala besar dengan ekonomi bidangan yang juga boleh mengurangkan kos opearasi," menurut Kertas Putih itu.

Peneroka yang berupaya dan mampu mengusahakan tanah mereka secara sendiri boleh mendapat gaji daripada model baru itu.

Tanaman alternatif yang berpotensi termasuk buah-buahan, sayuran dan kenaf (hibiscus cannabinus, pokok yang boleh digunakan untuk menghasilkan fiber).

Kertas Putih itu menyatakan kriteria tanaman alternatif ialah ia boleh dituai dengan cepat dan ada potensi menjana aliran tunai dengan cepat dan konsisten.

"(Tanaman alternatif) perlu kerana industri minyak sawit bergantung kepada pasaran dunia yang tidak menentu," kata Kertas Putih itu lagi.

Menerusi model yang digunakan Felda sehingga 2011, peneroka mendapat pendapatan berdasarkan hasil daripada tanah mereka dan dividen daripada pelaburan dalam Koperasi Permodalan Felda.

Sepanjang tempoh itu, Felda menguruskan semua pelaburan dan tanaman komersial. Selepas 2012 urusan itu diserahkan kepada Felda Global Ventures Bhd (kini FGV Holdings Bhd) dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Selepas 'durian runtuh' sebaik selepas penyenaraian awam FGV bernilai RM10.5 bilion, kedua-dua FGV dan FIC gagal mendapat hasil yang dijangka. Kertas Putih Felda menyatakan perkara itu sebagai punca kerugian Felda sejak 2013.

Dalam soal kebajikan, skim bayaran Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil turut diubah di bawah model baru itu.

Skim baru menjanjikan pinjaman berasaskan keperluan dan sistem bayaran balik berdasarkan pendapatan peneroka.

"Langkah ini merupakan usaha kerajaan untuk membela nasib peneroka yang terbeban dengan hutang yang tinggi memandangkan kebanyakannya sudah lanjut usia," kata Kertas Putih itu.

Felda juga akan mengembalikan semula projek Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF) bagi projek yang sudah siap 70 peratus.

Ia dijangka memberi manfaat kepada 4,794 peneroka generasi baru.

Peneroka generasi kedua dan ketiga juga akan mendapat akses latihan teknikal dan vokasional.

Pelan jangka pendek lain dalam reformasi Felda termasuklah penstrukturan semula agensi, subsidiari dan portfolio pelaburannya.

Aset tidak strategik akan dilupuskan sementara kegiatan Felda lain, misalnya pasukan bola sepak Felda United yang menurut Kertas Putih itu memerlukan biaya yang tinggi, akan dikaji semula.

Bagi pelan jangka panjang, undang-undang berkenaan Felda akan dipinda untuk membantunya mencapai matlamat. Bagaimanapun perkara itu masih dalam proses kajian.

Selain itu turut ada usaha memperkukuh sinergi Felda melalui kerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Pesekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda). 

Berita berkaitan:

FGV, FIC punca utama masalah Felda

Lapan transaksi Felda di bawah penelitian

Kerajaan setuju suntik lebih RM6 bilion untuk pulih Felda

Lihat Komen