Pengiklanan

    'Hadi memang tak tahu bayaran penyelesaian dengan Sarawak Report'

    (Dikemaskini )

    Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada awalnya memang tidak tahu menahu berkaitan bayaran penyelesaian saman RM1.4 juta dengan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown, kata sumber.

    Semua urusan, dari awal perbincangan hanya dijalankan oleh lima individu berpengaruh dalam PAS yang menggunakan Rameli Musa sebagai orang tengah, menurut sumber yang rapat dengan tokoh korporat itu.

    “Lepas selesai semua, baru Tok Guru (Hadi) tahu, lepas jumpa Rameli.

    “Dia terkejut,” kata sumber kepada Malaysiakini dalam pertemuan di Petaling Jaya baru-baru ini.

    Seperti Hadi, jawatankuasa pusat PAS juga didakwa tidak dimaklumkan berkaitan penyelesaian kes itu dan tidak pelik jika ramai pemimpin parti itu menafikan bulat-bulat pendedahan Sarawak Report.

    Tiga daripada 'kumpulan lima' itu ialah Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Peguam PAS Wan Rohimi Wan Daud.

    Samsuri dan Rameli dalam pertemuan di rumah tokoh korporat itu pada 13 Januari.

    Ahmad Samsuri atau lebih dikenali sebagai Dr Sam bertugas sebagai setiausaha politik Hadi sebelum dilantik sebagai menteri besar selepas pilihan raya umum Mei lalu.

    Dua lagi nama, iaitu seorang ahli perniagaan dan seorang individu yang dekat dengan Hadi, tidak akan didedahkan buat masa ini sementara menunggu reaksi mereka.

    Bincang umum saja, kata Takiyuddin

    Menjawab soalan Malaysiakini, Takiyuddin mengaku ada bertemu Rameli tetapi menurutnya mereka hanya berbincang secara umum sahaja dan beliau tidak tahu menahu berkaitan bayaran penyelesaian saman itu.


    Baca'Memang bincang dengan Rameli, tapi pasal bayaran saya tak tahu'


    Wan Rohimi pula berkata beliau tidak terlibat manakala setiausaha akhbar Ahmad Samsuri, Adram Musa pula memberitahu portal ini menteri besar biasanya tidak akan memberikan respon kepada berita “bersifat spekulatif”.

    Hadi pada 7 Mac lalu menegaskan beliau atau PAS tidak membuat sebarang bayaran kepada Rewcastle-Brown dan menyifatkan dakwaan itu sebagai agenda untuk menjatuhkan partinya.

    Ini bertentangan dengan laporan Sarawak Report enam hari sebelum itu yang mengesahkan bayaran dibuat.

    Laman pembocor maklumat itu malah mendedahkan dokumen penyelesaian dan salinan cek yang diserahkan melalui peguam di Kuala Lumpur.

    Sumber itu mendedahkan perkara itu selepas mendakwa pihaknya kecewa selepas PAS dilihat menjarakkan diri daripada Rameli selepas namanya sebagai pembuat bayaran bocor kepada pihak awam.

    Rameli juga menjadi mangsa spekulasi yang mengatakan kononnya beliau berpakat dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dengan membuat bayaran itu, kemudian membocorkannya untuk menganiaya PAS.

    Rameli sendiri setakat ini masih berdiam diri.

    Cuma isterinya Norlella Md Akram Pada 6 Mac lalu meluahkan kekecewaan di Facebook.

    Bagaimanapun, beliau yang juga seorang peguam, meminta media menarik balik laporan yang memetiknya atas alasan berstatus peribadi dan bukan untuk tatapan awam.

    Lima kali pertemuan

    Malaysiakini difahamkan terdapat lima kali pertemuan antara kumpulan lima itu dengan Rameli.

    Semuanya berlangsung di Kota Damansara, Selangor, termasuk tiga kali di rumah Rameli.

    Ia dikatakan berlangsung pada 15 Oktober, 20 Disember, 13 Januari, 18 Januari dan kali terakhir pada 2 Februari – sehari selepas penyelesaian dicapai antara Hadi dan Rewcastle-Brown.

    Bagaimanapun, dalam kesemua pertemuan itu, tidak semua 'wakil-wakil PAS' itu hadir. Takiyuddin misalnya dikatakan hanya hadir dalam pertemuan pertama.

    Ditanya perincian rundingan dengan Sarawak Report, sumber berkata Rameli telah berunding dengan Rewcastle-Brown di Hotel Marriott, London.

    “PAS hanya setuju bayar 150,000 pound sterling tetapi Clare minta 460,000 pound sterling.

    “Bincang bincang akhirnya dapatlah angka ini (GB£260,000 atau RM1.4 juta pada masa itu),” katanya.

    Clare bagaimanapun menjelaskan kepada Malaysiakini jumlah yang dimintanya ialah 360,000 pound sterling, iaitu jumlah bayaran perundangan yang ditanggungnya dalam kes saman Hadi.

    Rameli, kata sumber itu lagi, ialah tokoh korporat yang rapat dengan PAS dan banyak “berinfak” untuk parti itu.

    Sumber menegaskan wang RM1.4 juta itu sebenarnya cuma dipinjamkan dan sepatutnya dibayar semula dua hari selepas diserahkan kepada Rewcastle-Brown.

    “Tetapi sampai hari ini status bayaran balik tidak diketahui,” katanya.

    'Rameli kecewa, maklumat bocor pada RPK'

    Sementara itu, satu lagi sumber yang baru bertemu Rameli baru-baru ini berkata pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) KTMB itu sekarang sangat kecewa dengan apa yang berlaku.

    “Sekarang nampak macam dia tidak baik, khianat dan jahat,” katanya lagi.

    Raja Petra Kamaruddin

    Menurut sumber itu, Rameli juga tidak puas hati terhadap serangan penulis blog Raja Petra Kamaruddin (RPK).

    Sosok kontroversi yang membuang diri ke luar negara itu, katanya, tahu apa yang berlaku “fresh from oven” (sangat cepat) kerana salah seorang daripada kumpulan lima itu dekat dengannya.

    Menghuraikan hubungan Rameli dengan Anwar dan PAS, RPK antaranya menyerang Rameli sebagai "berjudi dengan semua kuda" bagi memastikan beliau sentiasa menang.

    Beliau didakwa membuat bayaran itu bagi memalukan Hadi dan PAS yang selama ini konsisten menafikan terdapat penyaluran dana dari Umno kepada pemimpin parti Islam itu.

    Kes melibatkan dana RM90 juta itu dilaporkan sudah selesai disiasat SPRM dan hasil siasatan kini dalam kajian Pejabat Peguam Negara (AGC).

    Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Rameli sendiri berkaitan dakwaan sumber yang rapat dengannya itu.

    Laporan tambahan oleh Shakira Buang.

    Belanjawan 2020
    • Infografik
      Carta & Graf
    • Kuiz
      Apa anda dapat?
    • Undian
      Suka atau tidak?
    • Laporan langsung
      Laporan langsung kami

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih