malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
4 termasuk pengarah ditahan SPRM kes tuntutan palsu RM100k
Diterbitkan:  Apr 8, 2019 9:41 PM
Dikemaskini: 1:41 PM
ADS

Seorang pengarah bahagian di Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) merupakan antara empat individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang hari ini kerana disyaki membuat tuntutan palsu.

Tiga lagi individu lain ialah penolong pegawai perpaduan JPNIN di Batu Pahat, seorang kontraktor pembekal dan anak lelaki kepada pengarah bahagian tersebut.

Menurut sumber, suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu, ditahan kira-kira 2.00 petang tadi di Pejabat SPRM Johor Bahru.

Penahanan mereka adalah bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek bersubahat membuat tuntutan palsu kepada JPNIN berjumlah lebih RM100,000 bagi program-program kemasyarakatan yang melibatkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sekitar daerah dalam negeri Johor, sedangkan kerja-kerja pembekalan program-program tersebut tidak dilaksanakan.

"Sebahagian daripada jumlah tuntutan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi anak pengarah bahagian tersebut,” kata sumber berkenaan.

Jika disabit dengan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan dipenjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan dua daripada empat suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok untuk permohonan reman.

- Bernama

Lihat Komen