malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS letak jawatan
ADS

GLOBAL | Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad menulis di akaun Twitter bahawa Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Kirstjen Nielsen "akan mengosongkan jawatannya," lapor agensi berita China Xinhua.

Pesuruhjaya Perlindungan Sempadan dan Kastam AS Kevin McAleenan akan memangku jawatan itu, kata Trump.

Pengumuman itu dibuat selepas media AS melaporkan bahawa Nielsen menghantar surat peletakan jawatan beliau pada Ahad dalam satu pertemuan dengan Trump.

"Meskipun terdapat kemajuan dalam pembaharuan keselamatan dalam negeri untuk berdepan era baharu, saya berpendapat ini adalah masa yang tepat untuk saya mengundurkan diri. Saya harap setiausaha berikutnya akan memiliki sokongan Kongres dan mahkamah," kata Nielsen dalam surat peletakan jawatannya.

Tidak jelas apa alasan peletakan jawatan Nielsen.

Media AS iaitu CNN memetik seorang pegawai kerajaan sebagai berkata Nielsen mendapati bahawa beliau "tidak dapat bertahan" susulan permintaan yang dibuat oleh Trump.

New York Times melaporkan bahawa Trump tidak gembira dengan Nielsen kerana jumlah pendatang haram yang memasuki AS meningkat dan menyalahkan beliau kerana tidak melakukan tindakan sewajarnya untuk menjaga kawasan sempadan.

Nielsen, 46, telah dilantik ke jawatan itu pada 6 Dis 2017 selepas penyandangnya, John Kelly dinaikkan pangkat sebagai ketua turus kakitangan Rumah Putih manakala McAleenan, 47, bertugas sebagai Pesuruhjaya Perlindungan Sempadan dan Kastam sejak 20 Jan 2017.

- Bernama

Lihat Komen