malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
120,000 sertai Bersatu di Sabah bukan ancaman Warisan - Marzuki
Diterbitkan:  Apr 7, 2019 2:15 PM
Dikemaskini: 6:15 AM
ADS

Penyertaan lebih 120,000 orang menjadi anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mengancam kedudukan Parti Warisan Sabah (Warisan), kata Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya.

Beliau berkata, penubuhan Bersatu di negeri itu sebaliknya disifatkan sebagai usaha mengukuhkan kedudukan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.

"Kita tidak melihat sebagai ancaman (kepada Warisan) kerana dalam PH, mana-mana parti yang mengukuhkan partinya (adalah) secara automatiknya memperkuatkan PH sendiri.

"Kita alu-alukan kemasukan lebih ramai anggota baharu di Sabah sebagai satu perubahan yang ingin dibuat oleh rakyat negeri itu sendiri yang memilih Bersatu sebagai wadah perjuangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku kumpulan puisi 'Mahathir, Kami Bersamamu' karya sasterawan dan pejuang bahasa, Dr Lim Swee Tin sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu merasmikan penubuhan parti itu di Sabah yang turut menyaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pelancaran Bersatu Sabah, Hajiji Noor dinamakan sebagai Penyelaras Bersatu Sabah.

Sementara itu, Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar berkata urusan penyiasatan membabitkan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan Perancis, Switzerland dan Luxembourg bagi kes berkaitan pembelian kapal selam jenis Scorpene dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dipermudahkan sejajar prinsip 'Rule of Law'.

Perlu dirujuk dahulu

Katanya, kementerian itu sebagai penghubung dalam soal dua hala akan mencari jalan bagi membantu apa juga urusan dan dasar yang membabitkan siasatan dilakukan negara luar, katanya.

Bagaimanapun, Marzuki berkata, buat masa ini, isu berkaitan MLA perlu dirujuk terlebih dahulu kerana masih belum menerima sebarang makluman rasmi daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Liew Vui Keong.

“Saya hanya mengetahuinya pagi ini, kita akan rujuk semula kerana ia membabitkan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai Liew mengarahkan MLA diberikan kepada tiga negara dalam penyiasatan kapal selam, Scorpene dan 1MDB.

Media melaporkan, arahan bertarikh 25 Mac dan diwartakan pada 2 April dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002.

Arahan terbabit menyatakan melalui cadangan Peguam Negara, bantuan hendaklah diberikan kepada tiga negara itu ‘tanpa kekangan, limitasi, pengecualian, ubah suai, adaptasi, syarat atau kelayakan.

- Bernama

Lihat Komen