malaysiakini logo
story-image
ADS

PRK RANTAU | Calon BN Mohamad Hasan berkata tiada sebarang salah laku apabila beliau memindahkan RM10 juta ke London pada 2008 melalui pengurup wang.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata terserah Yang Dipertua DUN Zulkefly Mohamad Omar untuk melaporkan hal berkenaan sekali lagi kepada SPRM.

"SPRM sudah buat siasatan. Terpulang kepada pihak berkuasa. Saya telah didapati tidak bersalah. 

"Tiada penyalahgunaan kuasa atau saya buat sesuatu yang tidak baik. 

"Saya beli apartment di London (dengan wang itu)," kata Mohamad pada sidang akhbar di Rantau hari ini.

Ketika berceramah malam tadi, Zulkefly mempersoalkan mengapa SPRM tidak mengambil tindakan terhadap Mohamad, yang pada 2008 didakwa melanggar undang-undang perbankan dengan memindahkan RM10 juta ke London melalui pengurup wang.

Pejabat Peguam Negara di bawah pemerintahan BN tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Mohamad, sebaliknya bertindak terhadap pengurup wang berkenaan.

Sementara itu, Mohamad juga menolak dakwaan yang dibuat aktivis Badrul Hisham Shaharin mengenai tuduhan salah laku berkaitan urusniaga melibatkan Felcra.

Teliti jejak wang

Badrul Hisham, yang lebih dikenali sebagai Chegubard, mengadakan ceramah di Pekan Rantau malam tadi mendakwa ketika Mohamad menjadi menteri besar, beliau telah meluluskan lebih 2500 hektar tanah kepada Felcra.

Badrul Hisham seterusnya mendakwa terdapat salah laku dalam urusan berkenaan kerana tiada geran tanah diberikan dan tiada bayaran premium tanah menyebabkan kerajaan negeri perlu menanggung kos jutaan ringgit.

Dia juga mendakwa RM30.65 juta hasil daripada Felcra yang sepatutnya disalurkan untuk program kebajikan eKasih telah lesap.

Menurut Badrul Hisham, dia mendapat tahu mengenai dakwaan berkenaan selepas memperolehi dokumen dari pejabat daerah dan kakitangan kerajaan negeri.

Mengenai dakwaan dana eKasih lesap, Mohamad berkata Badrul Hisham boleh meneliti jejak wang tersebut.

"Mestilah duit itu tidak hilang. Jejak wang mudah untuk diperiksa (untuk melihat) ke mana duit itu pergi.

"Pasti bukan ke dalam akaun saya," katanya.

Mohamad juga menjelaskan mengapa tiada geran hak milik tanah atau premium dikeluarkan untuk perjanjian tanah Felcra.

Beliau berkata menjadi dasar pentadbirannya untuk tidak menyerahkan tanah kepada syarikat-syarikat yang ingin membangunkan ladang kelapa sawit.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan negeri hanya akan memajakkan tanah itu selama 21 tahun.

Ini katanya bagi mengelakkan situasi pada masa lalu di mana kerajaan negeri akan kehilangan tanahnya, selepas usaha sama dengan entiti swasta gagal.

[Baca berita asal] 

 

Lihat Komen