Pengiklanan

    Keluar dari Statut Rome: Jejas reformasi M'sia - NGO

    (Dikemaskini )
    Berita

    Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa menggesa Malaysia supaya terus menyertai Perjanjian Statut Rome bagi Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

    Amnesty International Malaysia memaklumkan apabila kerajaan bersetuju menyertai perjanjian itu, masyarakat antarabangsa diberitahu mengenai iltizam negara untuk memerangi jenayah antarabangsa demi keamanan dan keselamatan sejagat.

    "Tetapi dengan pengumuman yang mengejutkan itu, negara telah berpatah balik daripada komitmen tersebut," kata Pengarah Eksekutif AI Malaysia Shamini Darshni Kaliemuthu dalam suatu kenyataan.

    Shamini memberi contoh usaha Malaysia dalam menyuarakan isu Rohingya akan terjejas apabila menarik balik menyertai ICC.

    "Seperti yang pernah dikatakan oleh Malaysia, ICC merupakan satu-satunya jalan mendapatkan keadilan untuk berjuta-juta mangsa jenayah antarabangsa.

    "Sebagai contoh, Malaysia telah dipuji kerana mengutuk jenayah yang dilakukan terhadap Rohingya dan penarikan diri ini merupakan tamparan terhadap usaha sejagat yang bersepadu dalam menuntut keadilan bagi mangsa-mangsa pelanggaran hak asasi manusia yang paling kejam ini," katanya.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah Asia untuk Human Rights Watch, Phil Robertson berkata keputusan Malaysia untuk menarik diri daripada ICC hampir tidak sampai sebulan selepas menyertai perjanjian itu telah meremehkan komitmen kerajaan terhadap keadilan.

    "Dengan menarik diri dari ICC, kerajaan Malaysia telah melemahkan kewibawaan reformasi hak asasi manusia.

    "Daripada menegakkan keadilan, kerajaan tunduk kepada tekanan daripada bekas parti pemerintah dan beberapa orang kerabat raja.

    "Kecuali kerajaan kekal berpegang teguh dengan keputusan asalnya untuk menyertai ICC, maka ia akan meletakkan agenda reformasi hak asasi manusia dalam risiko," tegasnya.

    Bukan sebab bahaya negara

    Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada ICC berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat.

    Sambil menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan disebabkan statut itu membahayakan negara, beliau berkata kerajaan sedar bahawa ia adalah langkah politik untuk mendapatkan sokongan daripada Raja-Raja.

    "Memanglah, sesetengah anggota kerabat diraja mungkin terlibat. Tetapi keseluruhan rancangan ini adalah supaya kerabat diraja di Malaysia menentang kerajaan sekarang.

    “Itulah motifnya. Tetapi disebabkan kekeliruan ini dan kekeliruan dalam kalangan Raja-Raja, kami membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf statut berkenaan.

    "Kami menarik diri bukan sebab Statut Rome membahayakan kami, sebaliknya disebabkan kekeliruan yang ditimbulkan oleh sesetengah orang, termasuk mereka yang bercita-cita politik. Kami tahu (perkara) ini,” katanya sambil menambah keputusan untuk menarik diri dicapai secara bersama dalam mesyuarat mingguan kabinet.

    [Baca berita asal]

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih