malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lama-lama mereka terima pandangan Abu Zuhrah
ADS

ULASAN | Al-Imam Abu Zuhrah yang mengatakan bahawa hukuman rejam adalah syariah Yahudi yang telah dinasakhkan dengan agama rahmat.

Dalam hal ini, al-Imam Abu Zuhrah tidak bersendirian, malah disokong oleh beberapa orang ulama besar dunia, seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Mustafa al-Zarqa’, Abdul Mut’al al-Sa’idi, Abdul Wahab Khalaf dan ramai lagi. 

Al-Imam Abu Zuhrah boleh dikatakan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah yang pertama menyatakan bahawa amalan rejam yang berlaku dalam Islam telah dinasakhkan dengan ayat zina.

Justeru, sebarang hadis-hadis yang menyebut berkenaan amalan rejam kepada penzina muhsan, dianggap sebagai berlaku sebelum turunnya ayat sebatan kepada penzina – ayat 2, surah al-Nur. 

Perbezaan besar antara pendapat al-Imam Abu Zuhrah dengan pandangan Khawarij dalam isu rejam adalah, al-Imam Abu Zuhrah mengatakan bahawa amalan rejam memang wujud dalam hadis, tetapi ia dimansuhkan.

Ini berbeza dengan Khawarij – sejak awal lagi mengatakan bahawa hukuman rejam tidak ada dalam Islam dengan alasan tiada dalam al-Quran.

Pendapat berkenaan rejam tidak ada dalam Islam, andai ditolak pada hari ini – itu bukan perkara yang pelik.

Perkara yang sama pernah berlaku pada ramai ulama, seperti al-Qaradawi, al-Zarqa dan sebagainya - iaitu di awal beliau mendengar pandangan al-Imam Abu Zuhrah.

Namun, akhirnya al-Qaradawi dan al-Zarqa’ juga menerima, malah mendukung pendapat al-Imam Abu Zuhrah tersebut. 

Dalam masyarakat Malaysia juga tidak jauh begitu – dahulu, hampir semua Muslim menyatakan bahawa hukuman murtad adalah bunuh.

Tetapi, semenjak Syaikh Dr Taha Jabir mengeluarkan satu buku bertajuk Tiada paksaan dalam agama; walaupun di peringkat awal berlaku penolakan hebat, tetapi kini sedikit demi sedikit, sudah ada ilmuwan Islam di Malaysia sudah menerima pendapat Syaikh Dr Taha Jabir tersebut.

Bahkan, PAS di Kelantan pun, pindaan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan pun sudah buang hukuman mati bagi kesalahan murtad. 

PAS sebelum ini pun, pernah memfatwakan haram mengucap Selamat Hari Natal.

Namun, selepas mereka berjumpa dengan pandangan al-Qaradawi, mereka sudah menukar pandangan mereka – dari haram kepada halal.

Dengan alasan ijmak – sebenarnya, antara perkara yang didakwa ijmak oleh ulama adalah haram muzik dan lagu.

Tetapi sekarang, hampir semua ulama Islam menerima bahawa muzik dan lagu adalah halal.

Dengan sebab itu, jika hari ini ada pihak menolak pandangan al-Imam Abu Zuhrah yang menyatakan hukuman rejam sebagai syariah Yahudi, tidak ditolak kemungkinan bahawa di masa akan datang, mereka akan menerima pandangan Imam Abu Zuhrah tersebut.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakili dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


'Tiada hukuman rejam dalam al-Quran'

'Tolak hukum rejam ajaran Khawarij'

Lihat Komen