Pengiklanan

    Dr M, Shafie pernah keberatan bawa Bersatu ke Sabah

    (Dikemaskini )

    Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad pada awalnya keberatan untuk mengembangkan parti berkenaan ke Sabah ketika ada rakan PH bertapak di negeri itu.

    Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata presiden parti berkenaan Muhyiddin Yassin juga menyangka permintaan daripada penduduk Sabah agar mereka menubuhkan caawangan di sana sebagai tidak begitu serius.

    Bagaimanapun kata Mohd Rafiq kepemimpinan tertinggi Bersatu mengubah fikiran selepas ibu pejabat parti itu menerima permohonan bertubi-tubi daripada orang Sabah, termasuk dalam kalangan anggota Umno.

    "Mereka yakin Bersatu akan jadi parti yang lebih baik berbanding Umno untuk membela bumiputera di semenanjung dan Sabah," katanya dalam wawancara pada Rabu lalu.

    Bersatu secara rasmi akan bertapak di Sabah mulai esok. Ia akan dirasmikan Mahathir. Beberapa 'kejutan' juga dijanjikan pada majlis berkenaan.

    Untuk rekod sebelum ini Umno menjadi parti yang mendominasi negeri berkenaan sehinggalah Parti Warisan Sabah berjaya menubuhkan kerajaan negeri selepas PRU pada 9 Mei tahun lalu.

    Sebahagian besar pemimpin dan wakil rakyat Umno di Sabah juga meninggalkan parti itu dan sesetengahnya menyertai Bersatu.

    Ada hubungan baik

    Sesetengah pihak berpendapat kemasukan Bersatu ke Sabah hanya akan mengganggu pentadbiran Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal yang mengetuai Warisan.

    Mohd Rafiq menambah selain anggota Umno permohonan untuk menubuhkan Bersatu juga dibuat penggerak pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang tidak ada pengalaman politik.

    Sesetengah mereka, kata penyelaras Bersatu Sabah itu, datang ke pejabat Bersatu bersama ribuan permohonan keanggotaan baru.

    Mengenai bantahan daripada Warisan, Mohd Rafiq berkata, dia yakin ia bukan datang daripada Mohd Shafie secara peribadi memandangkan hubungan bekas naib presiden Umno itu dengan Mahathir adalah rapat.

    Gambar fail

    Katanya Mohd Shafie juga mempunyai hubungan baik dengan Muhyiddin serta naib presiden Bersatu Mukhriz Mahathir.

    "Bantahan itu mungkin daripada beberapa pemimpin Warisan.

    "Namun begitu setelah ada perundingan di antara Mohd Shafie dengan Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz, akhirnya sidang media diadakan ketua menteri itu dengan sendirinya menterjemahkan bagaimana beliau berjiwa besar kerana mengetepikan perasaan sesetengah pihak dan melihat (kemasukan Bersatu) dari sudut holistik," katanya.

    Mohd Rafiq juga berpendapat kemasukan Bersatu ke Sabah tidak wajar dipolitikkan.

    Sementara itu mengulas majlis yang akan diadakan esok Mohd Rafiq berkata, ia akan menjadi satu lagi detik bersejarah buat Bersatu yang kini menerima lebih 104,000 permohonan keanggotaan setakat Rabu lalu.

    Dengan keadaan itu katanya Sabah akan menjadi negeri memiliki keanggotaan Bersatu paling ramai, mengatasi Johor dan Kedah sebelum ini.

    Mohd Rafiq juga tidak bersetuju dengan tanggapan sesetengah pihak yang menganggap Bersatu sebagai parti semenanjung.

    Sebaliknya kata Mohd Rafiq orang Sabah wajar menjadikan Bersatu sebagai parti mereka kerana berpeluang menjadi pemimpin suatu hari nanti.

    "Tidak ada halangan untuk orang Sabah menduduki sebarang jawatan utama dalam parti termasuk menjadi pengerusi, presiden atau sebarang jawatan lain," katanya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih