malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Imigresen tahan lebih 15,700 pendatang tanpa izin sejak Jan
Diterbitkan:  Apr 5, 2019 1:46 PM
Dikemaskini: 5:46 AM
ADS

Seramai 15,715 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga Rabu lepas (3 April), kata Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata daripada jumlah itu, tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia seramai 5,173 orang, diikuti warga Bangladesh (3,430), Filipina (1,439), Myanmar (1,458) dan selebihnya dari negara lain.

“Dalam pada itu, kami turut menahan 348 majikan premis kedai antaranya kerana kesalahan menyewakan premis perniagaan kepada PATI secara haram di pasar borong.

“Masalah kebanjiran warga asing di pasar borong bukan isu baru, namun ramai yang tidak menyedari golongan itu telah mula menguasai pasaran di pasar-pasar borong tempatan,” katanya dalam sidang akhbar susulan operasi bersepadu di Pasar Borong Selayang di Kuala Lumpur.

Khairul Dzaimee berkata dalam operasi itu, 150 PATI diperiksa dan 107 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, pemeriksaan semasa operasi juga mendapati 79 warga asing adalah pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Jabatan Imigresen akan menjalankan operasi penguatkuasaan berterusan bersama Polis Diraja Malaysia bagi mengekang masalah kebanjiran Pati di negara ini,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan juga amat penting dalam mengesan pihak yang menyewakan premis atau lot perniagaan kepada Pati.

- Bernama

Lihat Komen