malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bos GLC wajar dipanggil beri keterangan di parlimen
ADS

Pengerusi dan Pengarah Bukan Eksekutif Plus Malaysia Berhad (Plus), Mohd Sheriff Mohd Kassim, mencadangkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dipanggil ke parlimen untuk menerangkan operasi mereka.

Katanya, amalan yang lazim dilakukan di AS itu boleh dilaksanakan pula di Malaysia dalam usaha menjamin ketelusan operasi GLC berskala besar.

“Seperti yang kamu tahu, parlimen ada jawatankuasa pilihan khas.

"Saya harap salah satu daripada jawatankuasa itu akan mengambil tanggungjawab untuk memanggil GLC yang besar-besar (ke parlimen) untuk menjawab (soalan) tentang operasi mereka.

“Ini dibuat di Kongres AS. Pengerusi rizab persekutuan perlu hadir di hadapan jawatankuasa kongres beberapa kali dalam masa setahun. Rizab persekutuan ini samalah macam Bank Negara kita,” katanya.

Mohd Sheriff berkata demikian semasa menjawab soalan moderator tentang perkara yang dirasakannya penting bagi menentukan hala tuju GLC dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) di Malaysia.

Beliau hadir dalam Forum CEO anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur hari ini.

Forum berjudul Peranan GLC Ddalam Ekonomi Malaysia Moden itu turut disertai panel lain iaitu Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Shahril Ridza Ridzuan, Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Leo Maggie, dan Ketua Jabatan Ekonomi dan Pasaran Modal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein.

Rakan Perkongsian Pengurusan Ernst & Young Malaysia, Abdul Rauf Rashid pula bertindak selaku moderator pada forum yang berlansung lebih sejam itu.

Mengulas lanjut, Mohd Sheriff yang pernah menjadi pengarah urusan Khazanah berkata, beliau sendiri tiada masalah jika dipanggil ke parlimen untuk membentangkan butiran operasi Plus.

“Sebagai pengarah Plus, saya tak kisah dipanggil jawatankuasa pilihan khas ke parlimen untuk menjawab apa Plus buat, objektif Plus dan sebagainya.

“Saya rasa, kita perlu ada ketelusan pada tahap yang begitu,” katanya lagi.

Lihat Komen