malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Merujuk kepada artikel Wan Ji Wan Hussain yg disiarkan oleh Malaysiakini pada 2 Apr 2019 bertajuk 'Tiada hukuman rejam dalam al-Quran', saya ingin memberi pandangan saya.

Wan Ji berhujah bahawa hukuman rejam tidak wajib kerana ia tidak disebut di dalam al-Quran. Beliau merujuk kepada kenyataan Prof Muhammad Abu Zahrah yang dikeluarkan pada tahun 1970-an di Libya.

Prof Abu Zahrah mengatakan bahawa hukuman rejam ini bukan dari Islam tapi berasal dari Yahudi ataupun syariat kaum Yahudi

Adakah Ustaz Wan Ji hendak mengatakan para ulama dari zaman para sahabat selama 1,400 tahun telah berbuat kesilapan dan telah mewajibkan hukuman yang tidak wajib?

Adakah Ustaz Wan Ji hendak berkata yang ulama-ulama selama 1,400 tahun telah membuat bidaah yang mungkar?

Dari segi logik akal pun tidak masuk akal sama sekali apa yang didakwa oleh Wan Ji. Mustahil tiada seorang pun ulama-ulama dahulu selama 1,400 tidak mengetahui yang hukum rejam ini tidak tersabit dalam perundangan Islam.

Wan Ji berkata lagi: “Jika mahu dihuraikan segala hujah beliau, sudah pasti memerlukan satu artikel yang terlalu panjang. Mungkin sahaja mencapai sebuah buku.”

Sekiranya kita menulis nama-nama ulama yang mentasbitkan kewajipan hukum rejam dari zaman sahabat ke zaman kita sekarang ini, nescaya akan memenuhi lebih daripada sebuah buku.

Dari Saidina Umar ibnu Khattab, Saidina Ali, Ibnu Umar, Ibnu Abbas kepada Tabiin seperti Ikrimah bin Ammar, Ibrahim An Nakhaie kepada imam-imam yg empat kepada Al Auzaie, Ibnu Abdul Barr (Mazhab Maliki), Ibnu Qudamah (Hanbali) membawa kepada Imam Nawawi, Ibnu Hajr Asqalani, Ads Dzahabi, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Katsir, At Tabari, Ibnu Qutaibah dan di zaman moden kita pun beribu-ribu ulama yang mentasbitkan hukum ini.

Kalau dimuatkan semua hujah-hujah mereka, nescaya akan memakan ruang lebih daripada 200 jilid.

Hujah diulang kembali

Wan Ji berkata bahawa hujah paling utama menolak hukum rejam adalah ketiadaan hukum ini dalam al-Quran.

Hujah Wan Ji ini adalah hujah lama yang diulang cetak. Hujah ini telah wujud di zaman para sahabat tapi dikeluarkan oleh kumpulan Khawarij.

Sebagai bukti, merujuk kepada tulisan Imam Nawawi dlm kitabnya “Minhaj Syarah Sahih Muslim” di bawah Kitab Hudud dan Bab “Itsbat Hukum Rejam untuk penzina” (jilid 11 ms 284).

“…saya khuatir sesungguhnya terdapat manusia di zaman (ini) yg antaranya berkata; 'Kami tidak berjumpa hukum rejam di dalam al-Quran maka mereka menjadi sesat dgn meninggalkan ajaran yang dari mereka yang takut (kepada Allah) (dan) mereka ini telah jatuh (ke dalam) fahaman Khawarij dan seperti yang telah mereka persetujui dahulu”

Kenyataan Imam Nawawi di atas membuktikan hujah Wan Ji itu hanyalah hujah yang diulang kembali dari kumpulan Khawarij. Khawarij menolak hukum rejam atas sebab ia tidak ada dalam al-Quran.

Wan Ji juga menulis: “Pertama, bagi kesalahan zina, al-Quran hanya menjelaskan bahawa hukuman yang dikenakan ialah 100 sebatan. Hukuman yang dilakukan itu pula bersifat amat ehsan.”

Malangnya Wan Ji tidak merujuk kepada tafsiran Ibnu Abbas akan ayat 15 Surah Al Maaidah yang dinaqal dari kitab Al Mustadrak Al Hakim - hadis 8133:

Berkata Ibnu Abbas RA:

"Sesiapa yang mengkufuri hukuman rejam maka dia telah mengkufuri al-Quran dengan (dia) tidak mengambil perkiraan firman Allah SWT : Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, SAW) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci. Maka pada masa itu hukum rejamlah yang mereka (kaum Yahudi) sembunyikan”.

Ibnu Abbas juga berdalilkan dengan al-Quran yang mana menunjukkan bahawa sesiapa mengkufuri hukum rejam maka dia mengkufuri al-Quran terutamanya ayat 15 surah Al-Maidah.

Desakan orientalis Yahudi dan Nasrani

Hadis ini jelas menunjukkan kedudukan hukum rejam dalam perundangan Islam yang mana tiada keraguan akan kedudukan hukum tersebut dalam perundangan Islam seperti yang disahkan oleh Ibnu Abbas dalam hadis di atas.

Wan Ji berdalilkan dengan pendapat Prof Muhammad Abu Zahrah yang kata beliau sudah mendapat penerimaan yang banyak dari ulama-ulama kontemporari termasuk Yusuf Qardhawi.

Ulama-ulama zaman moden ini menolak hukum rejam kerana mereka tunduk kepada desakan dan kritikan orientalis Yahudi dan Nasrani.

Oleh kerana ketiadaan hujah yang rasional untuk menyokong hukum rejam, maka ulama-ulama ini rela tunduk kepada desakan orientalis Yahudi dan Nasrani.

Menghormati agama lain tidak bermakna kita orang Islam mengubah agama kita demi mendapat keredhaan mereka.

Sedangkan Salleh Abbas dalam satu forum apabila ditanya berkenaan hukum rejam beliau berkata hukum ini tidak zalim sama sekali bagi mereka yang memandang zina itu keji dan mungkar.

Hukum rejam dalam Islam adalah tsabit dengan ijmak para sahabat menandakan bahawa tidak ada keraguan walaupun sedikit akan kewajiban melaksanakan hukum tersebut dan kedudukannya di dalam hukum syarak.

Mustahil ulama-ulama sepanjang 1,400 tahun boleh berbuat silap dengan mewajibkan hukuman yang bukan dari hukum syarak.

Pendapat kononnya hukuman ini tiada dalam al-Quran adalah pendapat yang datang dari kaum Khawarij, bukan dari Islam.


ABDUL RAHMAN ABDUL TALIB merupakan penulis blog. Beliau ber-Facebook di https://www.facebook.com/tulangbesi.malaysiawaves.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen