malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Menteri Besar Johor, Osman Sapian, mengumumkan bahawa kilang-kilang yang beroperasi di Pasir Gudang akan dipindah dan ditempatkan semula di kawasan lain.

Keputusan itu diambil adalah sebagai kesan kes pencemaran biokimia di Sungai Kim Kim beberapa minggu lepas.

Keputusan itu adalah contoh nyata betapa tersasar dan kelirunya pemikiran kerajaan pimpinan Osman.

Pasir Gudang sejak awal lagi dibangunkan sebagai kawasan perindustrian.

Kedudukannya sangat strategik dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pesat sektor perindustrian Johor. Ia juga terletak berhampiran Pelabuhan Johor, menjadikan ia sangat ideal untuk aktiviti pembuatan dan perindustrian.

Kawasan industri tersebut menyumbang kepada ratusan ribu peluang pekerjaan dan menjana pertumbuhan ekonomi eksport yang sangat besar kepada pendapatan Johor dan negara.

Peristiwa pencemaran biokimia di Sungai Kim Kim adalah tindakan tidak bertanggungjawab beberapa individu tertentu.

Kos tinggi luar biasa

Meletakkan kesalahan kepada pemain industri yang lain di kawasan Pasir Gudang adalah sangat tidak adil dan tidak bertanggungjawab.

Jalan terbaik sepatutnya ialah pastikan penguatkuasaan piawaian alam sekitar di pertingkatkan secara radikal.

Melalui penguatkuasaan piawaian alam sekitar mengikut tanda aras termaju dan terbaik, kelestarian alam sekitar akan dapat dikekalkan tanpa mengekang kemajuan perindustrian Johor.

Singapura adalah contoh terbaik apabila sektor perindustriannya sangat pesat dan maju tetapi sangat lestari terhadap alam sekitar.

Perlu diingatkan bahawa Johor adalah negeri yang ekonominya masih membangun. Sektor perindustrian - terutama pembuatan - adalah asas utama untuk daya saingnya.

Justeru, cadangan memindahkan kilang-kilang di Pasir Gudang adalah langkah tidak praktikal dan mundur.

Pada waktu sama, tidak mungkin untuk kerajaan memaksa kilang-kilang tersebut berpindah kerana ia akan melibatkan kos tinggi yang sangat luar biasa kepada pengilang.


Baca Tutup kilang gagal patuh peraturan alam sekitar - Sultan Ibrahim


Kenyataan Osman adalah contoh nyata bagaimana keputusan dasar kerajaan diumumkan tanpa kajian mendalam, sahih dan tepat.

Kerajaan Johor perlu diingatkan bahawa jawapan kepada masalah pencemaran alam sekitar dan pematuhan piawaian kelestarian terbaik ada pada sains dan undang-undang, bukannya tindakan politik yang cetek, tidak berpandangan jauh dan populis.

Pasir Gudang harus kekal sebagai kawasan perindustrian dengan usaha gigih memastikan kelestarian alam sekitarnya dilakukan tanpa kompromi.

Tanpa Pasir Gudang, ratusan ribu lagi penduduk Johor akan ke Singapura mencari kehidupan. Johor kemudian akan terus jadi laman belakang yang malap kepada Singapura yang semakin menyinga.

Tidak dapat dibayangkan keadaan Pasir Gudang tanpa kedinamikan industrinya dalam Johor yang semakin pudar dari radar kepesatan ekonomi negara.


MOHAMED KHALED NORDIN ialah naib presiden Umno dan bekas menteri besar Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen