malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Saya ditanya oleh rakan-rakan, apakah benar model skala kecil prototaip "kereta terbang” yang dipamerkan di LIMA 2019 adalah sesuatu yang benar atau hanya khayalan semata-mata.

Untuk berlaku adil, saya hanya menjawab dengan membuat analisis dari sudut kejuruteraan semata-mata terhadap model prototaip (berdasarkan model skala yang ditularkan) itu. Tiada maklumat lain.

Sekiranya saya menjawab di hadapan pelajar kejuruteraan saya, maka kaedah seperti prinsip Bernoulli, peraturan Newton, aerodinamik, aerotermodinamik, mekanik cecair, dan segala prinsip fizik akan terpaksa dijelaskan.

Saya akan meminta pelajar saya untuk mengkaji aspek sistem kuasa, saiz rotor dan reka bentuk, reka bentuk kenderaan dan intergriti stuktural, bahan-bahan, analisis kebisingan dan getaran, kemampuan bergerak (manoeuvrability), sistem kawalan, beban muatan, nisbah kuasa dan berat, pensijilan dan kelayakan, kestabilan dinamik dan sebagainya.

Saya akan meminta pelajar saya membuktikan menerusi computation fluid dynamics (CFD).

Bagaimanapun tentunya dalam tulisan ini saya tidak akan buat begitu.

Untuk maklumat kepada awam, saya memilih untuk menggabungkan jawapan ringkas saya ini berasaskan latar belakang saya sebagai saintis, jurutera, penyelidik dan ahli politik.

Cabaran dunia baru

Maka saya akan cuba memberikan pandangan dalam bahasa yang paling mudah dan senang difahami.

Pertama, premis bahawa ianya dilabelkan sebagai “kereta terbang”adalah bersifat provokatif dan sensasi. Sains dan teknologi seharusnya bukan sensasi, bukan gimik, sebaliknya perlu berasaskan fakta tepat.

Tidak dinafikan juga mungkin sedikit kesilapan melabelnya akan membuka ruang pentafsiran yang salah.

Maka amat penting untuk pihak yang memperkenalkan cadangan prototaip “kereta terbang” itu - dan kementerian terbabit - untuk cepat membetulkan nama panggilannya supaya tidak menjadi momokan.

Itulah cabaran dunia baru.

Sebenarnya tidak ada apa-apa yang kurang pun sekiranya menteri atau timbalan menteri dengan pantas membetulkan label “kereta terbang” itu pada hari pertama dan menggelarnya dengan nama yang lebih sesuai.

Misalnya vertical take-off transporter, dron automobil, teksi dron, auto hover atau yang lain.

Nama yang tepat akan bergantung kepada prinsip bagaimana kenderaaan berkenaan akan mula berada di udara, sama ada menerusi vertical take-off (pelepasan menegak) - seperti dron yang ada di pasaran sekarang - atau pelepasan biasa seperti pesawat kecil yang mempunyai retractable wings.

Kedua, mungkin ada yang mula bertanya: adakah boleh wujud kenderaan sedemikian?

Ya, pada prinsipnya ia tidak berlawanan dengan kejuruteraan, dan memang sudah ada kenderaan yang mampu berada pada ketinggian tertentu - seperti dron - yang mampu membawa manusia sebagai bebannya.

Maka soalan berikutnya: adakah yang dipamerkan di LIMA 2019 itu sesuatu yang mungkin boleh terbang?

Ada apa dengan penutup berjaring

Sekiranya reka bentuk dan pembinaannya menepati reka bentuk kejuruteraan dan segala prinsipnya, maka ia boleh berada di udara.

Saya percaya, tentunya syarikat berkenaan mempunyai pakar teknikal yang berkebolehan, tetapi dengan melihat reka bentuk prototaip tersebut, perjalanan masih jauh.

Pada hemat saya, sekiranya itulah reka bentuk cadangannya, maka cubaan yang lebih serius diperlukan bagi memastikan ia mampu berada di udara.

Sekiranya ia adalah projek pelajar saya, saya akan memberi komen awal terhadap reka bentuk pelik penutup berjaring di atas kipas, yang pada hemat saya akan mengurangkan daya dan kuasa tujahan untuk membolehkan kenderaan itu berada pada satu ketinggian tertentu di udara.

Faktor kritikal ialah mempunyai daya dan kuasa tujahan serta angkatan yang mempu mengatasi berat kenderaan serta bebanan yang dibawanya.

Penutup berjaring berkenaan hanya akan membolehkan angin keluar di bawah dalam keadaan seragam (uniform flows) tetapi tujahan pula mengurang (reduced thrust).

Ini akan menyukarkan lagi usaha mendapatkan daya tujahan bagi mengangkat kenderaan berkenaan.

Ketiga, pada zaman media baru ini, sering kali inisiatif kerajaan berdepan dengan kritikan daripada rakyat.

Pimpinan lain dalam masyarakat tentunya mempunyai pelbagai pandangan dan latar belakang.

Menteri atau timbalan menteri yang mengeluarkan kenyataan menyokong kenderaan berkenaan haruslah mengambil maklum bahawa kita sebagai pimpinan masyarakat hendaklah cuba (saya katakan cuba kerana - saya juga - tidak mudah untuk mengawal perasaan sendiri) untuk tidak bertindak balas dengan sindiran orang ramai.

Ambil maklum dan jelaskan dengan hati yang terbuka.

Apa salahnya kita menggunakan ayat seperti: “Saya memahami kritikan berkenaan, kami akan ambil maklum dan atasi apa jua masalah reka bentuknya”, atau katakan: “Kami akan berikan penjelasan pada satu masa nanti’, “penjelasan teknikalnya adalah seperti berikut…”, “ïtu adalah contoh saja, reka bentuk akhir tentunya berbeza, sesuai dengan objektif kenderaan berkenaan” dan sebagainya.

Mantan ketua pegawai eksekutif General Electric, Jack Welch, menyebut: “Orang ramai mesti yakin dengan anda, anda pula harus membina keyakinan orang ramai”.

Menarik bukan? Objektif nampak mudah tetapi mengusahakannya tidak semudah itu!

Semoga berjaya. Benediximus!


Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ialah menteri besar Terengganu merangkap Adun Rhu Rendang. Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah dalam bidang aeroangkasa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen