malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Pada 29 Dis 2018, Jabatan Peguam Negara Brunei bersama jurucakap Kementerian Hal Ehwal Agama memaklumkan Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan pelaksanaan hukuman rejam sampai mati bagi pesalah zina dan seks sejenis pada 3 April 2019.

Pengumuman itu diulang siar pada 28 Mac baru-baru ini lalu mengundang wacana awam di media sosial dalam kalangan masyarakat Muslim, bahkan masyarakat non-Muslim di dunia.

Lantaran keputusan kerajaan Brunei itu, tercetus respon daripada beberapa individu terkenal dunia, seperti pelakon AS, George Clooney yang menggesa agar sembilan hotel milik Brunei diboikot.

Kemudiannya, legenda pop Britain, Elton John, turut membuat gesaan sama.

Tidak dinafikan bahawa dalam dunia ini, hukuman rejam sudah diamalkan di beberapa negara dan wilayah.

Antara negara yang pernah melaksanakannya termasuklah Pakistan, Sudan, Afghanistan dan Nigeria.

Taliban - dan kini Isis - antara kumpulan yang pernah melaksanakan hukuman berkenaan dengan masing-masing memfokuskan kesalahan zina muhsan (lelaki atau perempuan yang berzina dalam keadaan mereka pernah merasai persetubuhan dalam pernikahan).

Bersumber ajaran Yahudi

Walaupun tidak pernah dilaksanakan, Kelantan dan Terengganu antara negeri di Malaysia yang mengkanunkan hukuman rejam bagi pesalah zina muhsan dari sudut perundangan, masing-masing sejak 1993 (di Kelantan) dan 2002 (di Terengganu).

Hukuman rejam dikanunkan di kedua-dua negeri itu pada era pemerintahan PAS.

Untuk sekian lama, hukuman rejam dipercayai sesuatu yang ada dalam Islam. Walaupun ia tidak termaktub dalam al-Quran, tetapi kepercayaan itu diterima oleh majoriti Muslim di dunia, malah dalam kalangan ilmuwan Muslim.

Kepercayaan itu berubah apabila seorang ulama Islam terkenal dunia - berasal dari Mesir - Imam Abu Zuhrah, mengeluarkan satu kenyataan berani.

Beliau menyatakan bahawa hukuman rejam hingga mati kepada pesalah zina muhsan tidak ada dalam Islam.

Pada peringkat awal, kenyataan beliau mendapat serangan hebat daripada ulama-ulama di seluruh dunia. Mereka mendakwa, Abu Zuhrah kononnya mahu membuang sesuatu hal yang wujud dalam Islam.

Bagaimanapun, dari sehari ke sehari, pendapat beliau semakin diterima dalam kalangan Muslim. Malah terdapat ulama sendiri sudah berhujah dan menganggap pandangan Abu Zuhrah bertepatan dengan ajaran agama.

Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi - yang juga murid Abu Zuhrah - kenyataan itu dilontarkan dalam satu himpunan ulama antarabangsa di Libya pada awal 1970-an.

Dalam ucapan yang dihadiri ratusan ulama dari seluruh dunia, Abu Zuhrah dengan yakin berkata bahawa amalan hukuman rejam yang dipercayai ramai Muslim itu sebenarnya bersumberkan ajaran Yahudi dan diamalkan sebelum kedatangan Islam.

Hujah menolak rejam

Jika mahu dihuraikan segala hujah beliau, sudah pasti memerlukan satu artikel yang terlalu panjang. Mungkin sahaja mencapai sebuah buku.

Dalam artikel ini, diperjelaskan beberapa hujah dasar terhadap pendapat Abu Zuhrah tersebut.

Pertama, bagi kesalahan zina, al-Quran hanya menjelaskan bahawa hukuman yang dikenakan ialah 100 sebatan. Hukuman yang dilakukan itu pula bersifat amat ehsan.

Sebatan itu perlulah tidak melukakan, malah semasa pelaksanaannya pesalah perlu memakai pakaian yang tidak terlalu nipis dan tidak terlalu tebal.

Ini sudah pasti bercanggah dengan hukuman rejam yang bersifat sadis.

Gambar fail

Kedua, hukuman rejam terdapat dalam hadis. Pun begitu, didapati hadis terbabit bercanggah dengan prinsip al-Quran yang menjelaskan kewajiban menjaga nyawa manusia (ayat 151 surah al-An’am dan ayat 33 surah al-Isra’).

Dalam kaedah memahami teks Islam, hadis sebagai sumber kedua tidak boleh bercanggah dengan al-Quran yang merupakan sumber pertama. Dengan itu, hadis berkenaan rejam adalah diragui.

Ketiga, rejam manusia dengan batu sehingga mati bersifat sadis. Ia sudah pasti bercanggah dengan asas ajaran Islam. Nabi SAW pernah berpesan agar perbuatan menyembelih binatang ternakan pun perlu dihindari daripada sifat sadis. Inikan pula bertindak terhadap manusia.

Keempat, al-Quran menjelaskan bahawa hukuman yang dikenakan kepada hamba dan orang merdeka adalah berbeza. Contohnya bagi kesalahan zina.

Bagi penzina yang merdeka, dikenakan hukuman seratus sebatan, sedangkan bagi penzina hamba, dikenakan separuh, iaitu 50 sebatan sahaja.

Al-Qaradawi

Andai penzina muhsan yang merdeka dijatuhkan hukuman rejam, sudah pasti tidak masuk akal untuk melaksanakan hukuman separuh rejam kepada penzina muhsan daripada kalangan hamba.

Dengan itu, dipercayai amalan rejam dalam hadis itu diragui keabsahannya.

Semenjak Abu Zuhrah mengeluarkan pandangan itu, terdapat beberapa ulama Islam yang terkenal menyokong pandangan tersebut.

Antaranya adalah al-Qaradawi yang berasal dari Mesir dan kini tinggal di Qatar. Beliau juga bekas presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (Kuis).

Tidak ketinggalan Dr Mustafa al-Zarqa’ yang berasal dari Syria dan salah seorang ahli jawatankuasa Kuis; Dr Mahmud Syaltut (ulama Mesir yang pernah menyandang jawatan eektor Universiti al-Azhar) serta beberapa orang ulama terkemuka lain.

Penutup

Dalam hadis, Islam menegaskan bahawa hukuman tidak boleh bersifat double standard (berbeza bagi kesalahan sama). Malah, Rasulullah pernah menyatakan bahawa tindakan sebegitu akan membawa kepada kehancuran.

Amalan double standard ternyata berlaku di Brunei, iaitu apabila perkara 84A (2) perundangan mereka menyatakan bahawa sultan terkecuali daripada dikenakan hukuman kerana perlembagaan mereka mengatakan bahawa sultan "tidak pandai" melakukan kesalahan.

Dengan ini, dapat disimpulkan bahawa dakwaan pelaksanaan hukuman rejam di Brunei adalah selaras dengan tuntutan syariah itu bukan saja tidak berasaskan hujah agama yang kuat, malah bercanggah dengan prinsip dasar Islam yang menolak amalan double standard dalam pelaksanaan undang-undang.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre. Rencana ini dipetik dari laman sesawang saudara.org.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakili dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen