malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib sekali lagi mohon tangguh bicara kes SRC
ADS

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkannya menangguhkan lagi perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Perkara itu dimaklumkan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib ketika sebutan semula kes rasuah membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah di Kuala Lumpur hari ini.

Harvinderjit memberitahu mahkamah permohonan itu difailkan pagi tadi di Mahkamah Persekutuan, bagaimanapun belum ada tarikh ditetapkan untuk pengurusan kes itu.

Pada 27 Mac lepas, panel tujuh hakim diketuai Ketua Hakim Negara Richard Malanjum mengetepikan perintah penangguhan oleh Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan penangguhan difailkan Najib pada 8 Feb lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya mendapat surat balasan daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim berhubung permohonan mereka untuk melapangkan perbicaraan kes 1MDB bagi memberi laluan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

"Pihak pendakwaan telah menulis surat kepada Hakim Besar Malaya pada 29 Mac lepas memohon agar perbicaraan kes rasuah 1MDB dilapangkan bagi memberi laluan kepada perbicaraan kes penyelewengan SRC International Sdn Bhd.

“Hari ini pihak kami telah menerima surat daripada Hakim Besar Malaya namun seperti yang dimaklumkan dalam surat, keputusan untuk menangguhkan kes itu terletak pada budi bicara mahkamah," katanya.

Sehubungan itu, hakim memutuskan perbicaraan bagi kes rasuah membabitkan dana 1MDB dimulakan pada minggu pertama bulan Mei atau mengikut tarikh yang telah ditetapkan, bergantung kepada kelapangan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Perbicaraan kes rasuah melibatkan dana 1MDB sebelum ini telah ditetapkan dari 15 April hingga 3 Mei.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 April untuk pengurusan kes bagi mendapatkan pengesahan sama ada perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd akan dijalankan pada 15 April ini atau sebaliknya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram menurut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Anggota Parlimen Pekan, Pahang itu didakwa melakukan kesemua kesalahan di AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 2011 dan 2014.

-Bernama

Lihat Komen