malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lahir dari rahim Nasrani, Prabowo nafi sokong khalifah Islam
Diterbitkan:  Apr 1, 2019 8:14 PM
Dikemaskini: 12:14 PM
ADS

GLOBAL | Semakin hampir tarikh pilihan raya umum (PRU) Indonesia kehangatan kempen untuk mengisi jawatan presiden negara itu juga bertambah panas.

Terbaru, Prabowo Subianto dikaitkan dengan fahaman kumpulan penyokong Islam radikal dan konservatif.

Bekas panglima tentera pada zaman Suharto itu didakwa menyokong idea penubuhan negara Islam yang dipimpin seorang khalifah.

Prabowo juga didakwa penyokong Joko Widodo tidak senang dengan amalan bertahlil.

“Ini sesuatu yang tidak masuk akal,” katanya semasa bercakap pada sesi debat calon presiden di Jakarta dan dipetik Tempo hari ini.

Menurut Prabowo tuduhan yang dilontar penyokong presiden Indonesia itu tidak tepat, malah dia menegaskan dirinya sebagai penyokong teguh Pancasila.

Malah katanya dia menandatangani ikrar mempertahankan dasar negara Indonesia itu seawal usianya 18 tahun.

Ada bendera hitam berkibar

Ia dipercayai merujuk kepada waktu Prabowo menyertai angkatan tentera Indonesia.

“Ibu saya seorang Nasrani, saya lahir dari rahim seorang Nasrani.

"Semasa berumur 18 tahun saya sudah menandatangani untuk pertaruhkan Pancasila.

“Bagaimana saya boleh dituduh sebegitu? Sungguh kejam,” katanya.

Pancasila merupakan ideologi kehidupan Indonesia yang merangkumi lima dasar iaitu ketuhanan yang maha esa, kemanusiaan yang adil dan beradab, penyatuan Indonesia, kerakyatan yang dipimpin secara bijaksana dan keadilan sosial bagi seluruh rakyat Indonesia.

Rakyat Indonesia akan memilih wakil rakyat bagi setiap peringkat melalui PRU Indonesia pada 17 April ini.

Pemilihan berkenaan dilangsungkan serentak untuk jawatan presiden.

Jokowi (kiri) dan Ma'ruf (kanan)

Prabowo mencuba nasibnya untuk kali kedua bagi mencabar Joko Widodo - atau lebih terkenal dengan panggilan Jokowi - pada tarikh berkenaan.

Sebahagian besar kumpulan atau parti berasaskan Islam menjadi penyokong Prabowo, termasuk pertubuhan yang dianggap konservatif seperti Front Pembela Islam (FPI).

Pada masa sama Jokowi bergandingan dengan Pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Ma'ruf Amin, sebagai calon timbalan presiden.

Prabowo pula memilih tokoh muda dan hartawan, Sandiaga Uno, sebagai calon timbalannya.

Terdahulu Probowo dituduh menyokong penubuhan negara Islam kerana ada bendera hitam bertulis kalimah syahadah berkibar semasa kempennya.

Sekumpulan penyokong Jokowi mempersoalkan bendera tersebut yang dikatakan mirip kumpulan Hizbut Tahrir Indonesia (HTI).

HTI merupakan organisasi yang memperjuangkan undang-undang Islam secara keseluruhan serta membebaskan negara dari sistem hidup dan pengaruh negara barat.

HTI sudah diharamkan dan diarah agar dibubarkan di Indonesia.

Lihat Komen