malaysiakini logo
story-image
ADS

Beberapa pemimpin PKR berpandangan pertikaian antara presiden parti itu Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan.

Bagi mereka, hubungan kedua-duanya terutama berhubung kerjasama dalam parti tetap baik seperti sebelumnya.

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata isu itu tidak timbul seperti yang didakwa beberapa pihak tetapi mengakui ada masalah komunikasi antara Anwar dengan sesetengah pemimpin.

"Saya ingat tiada isu mengenai ketegangan (antara Anwar dan Azmin) sebab sebagai parti, Anwar berhak memanggil siapa saja untuk dia dapatkan maklumat dan penjelasan.

“Dan saya amat berharap beliau dapat melakukannya agar segala miscommunication antara pihaknya dengan mana-mana pemimpin... (agar) masalah komunikasi ini dapat diselesaikan oleh presiden," katanya kepada Malaysiakini.

Pertikaian antara Anwar dan Azmin dibangkitkan ketika pemilihan PKR tahun lalu - yang berlangsung kira-kira dua bulan - sehinggalah ketika ia berakhir, di mana pelantikan yang dibuat Anwar dibantah Azmin.

Isu itu kembali timbul apabila Azmin dalam satu ciapannya mengatakan Malaysia memerlukan "orang yang mahu berjuang sehingga saat akhir dan bukannya orang yang banyak merungut".

Walaupun tidak merujuk sesiapa secara khusus, ia dipercayai ditujukan kepada Nurul Izzah Anwar yang baru meletakkan jawatan daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan menyuarakan kekecewaannya terhadap kerajaan dan menyifatkan Dr Mahathir Mohamad sebagai "bekas diktator" dalam wawancara bersama media Singapura.

Anwar kemudian menasihatkan Azmin agar "bertenang" selain berkata ada yang ingin mempertahankan prinsip, dan ada juga yang mahu mempertahankan kedudukan "dengan cara apa sekali pun".

Selepas itu, Azmin dalam ciapannya - sekali lagi tanpa merujuk sesiapa - hanya berkata "ha ha ha".

"Saya nampak mereka okey, (mereka) berjumpa di parlimen, bercakap. Tapi kalau ada yang tersirat saya tak tahu," kata Zuraida.

Chang Lih Kang

Naib Presiden PKR Chang Lih Kang juga berkata "tiada apa yang berubah" dan mereka berdua sudah bersama untuk masa yang lama.

"Anwar kini presiden dan Azmin timbalannya. Mereka memainkan peranan berbeza - Anwar dalam pembaharuan Parlimen sementara Azmin memegang portfolio penting dalam Kabinet.

"Mereka membincangkan segala perkara, dari hal parti kepada pentadbiran... Mereka ada konsesus dalam kebanyakan perkara yang dibincangkan, kecuali satu dua perkara.

"Saya tak nampak satu atau dua perbezaan pendapat akan menjejaskan hubungan mereka," katanya.

Beliau juga berkata kenyataan Anwar berkenaan "pemimpin yang mahu mempertahankan kedudukan" dibuat secara umum bukan dituju khusus kepada Azmin.

Justeru beliau menyangkal teguran dua pemimpin akar umbi PKR - Ketua Cabang Jelutong Shahrudin Mohd Shariff dan Ketua Cabang Ketereh Ab Aziz Ab Kadir - yang menyifatkan kenyataan Anwar itu sebagai kasar.

Sharudin dan Ab Aziz dalam kenyataan berasingan berkata Azmin telah dipilih dalam pemilihan parti terdahulu dan Anwar tidak sepatutnya menyerang Azmin secara terbuka.

"Itu kenyataan peribadi mereka. Pada saya kenyataan presiden tidak tuju kepada sesiapa (secara khusus)," kata anggota parlimen Tanjung Malim itu mengulas kenyataan tersebut.

Fahmi Fadzil

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata kepimpinan PKR tetap fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat dan mengangkat agenda reformasi.

"(Tanggapan wujud ketengangan) Ini cuma spekulasi pihak yang mahu melihat kerenggangan (hubungan) pimpinan PKR dan bagi saya perlu disanggah...PKR tetap fokus dengan agenda reformasi.

"Kedua-duanya hadir ke mesyuarat pemukiman PH baru-baru ini dan dari segi tanggungjawab terhadap parti dan kerajaan, ia berterusan seperti biasa," katanya.

'Peringatan kepada agenda'

Anggota parlimen Lembah Pantai itu berkata dakwaan tersebut tidak memberi kesan kepada parti yang kini perlu berdepan PRK Rantau yang bermula esok.

Fahmi bagaimanapun mengingatkan pentingnya untuk terus fokus kepada agenda sebagai parti yang kini berada dalam kerajaan.

"Jika ada pihak yang mahu menangguk di air keruh, mereka inilah yang perlu diawasi.... PKR telah berjuang lebih 20 tahun. Semestinya kita akan terus berusaha merapatkan saf dan menzahirkan agenda reformasi," katanya lagi.

Dakwaan pertikaian Anwar dan Azmin dihangatkan lagi apabila timbul cakap-cakap mengatakan Azmin terlibat dalam usaha menghalang Anwar daripada menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.

Azmin beberapa kali menafikan dakwaan beliau berbalah dengan - mahupun mengkhianati - Anwar.

Semalam Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin berkata Anwar dan Azmin perlu saling mempercayai kerana kekuatan PKR adalah gabungan kekuatan mereka berdua.

"Anwar perlu bersikap seperti presiden, boleh mendengar dan bekerja secara dekat dengan timbalannya... Kedudukan Azmin pula terjamin dengan kemenangan dalam pemilihan. Perlu ada sikap saling menghormati antara presiden dan timbalan presiden," katanya.

Anwar pula berkata PKR kini fokus terhadap PRK Rantau dan perbezaan pendapat dalam parti hanyalah isu kecil.

“Semua pun sudah setuju datang berkempen, usahlah laga-lagakan lagi," katanya.

Lihat Komen