Pengiklanan

    Hadi: Kerjasama PAS-MIC umpama keluarga

    (Dikemaskini )

    Kerjasama antara PAS dan MIC bagaikan sebuah keluarga yang bersatu atas dasar satu titik persamaan walaupun berbeza kaum, kata Abdul Hadi Awang.

    Presiden PAS itu berkata, kebersamaan PAS, MIC dan Umno bukan perkara baru, malah ketiga-tiga parti ini pernah bersama menentang penjajah.

    "Islam walaupun satu agama, di dalamnya adalah cara hidup yang perlu dihormati dan dipertahankan bahawa manusia pelbagai bangsa ini adalah satu keluarga di dunia yang besar.

    "Sepatutnya kita satu keluarga, sebagaimana seorang diri tidak boleh hidup sendirian, mesti tolong-menolong, begitulah satu bangsa dalam dunia ini tidak boleh hidup dengan bangsanya sahaja, mesti bertolongan antara satu sama lain," katanya seperti dilaporkan lidah rasmi PAS, Harakahdaily hari ini.

    PAS dan BN menjalinkan kerjasama selepas PRU14 bermula di PRK Sungai Kandis dan berlanjutan membuahkan hasil kemenangan di PRK parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih baru-baru ini.

    Kerjasama PAS itu yang dimulakan bersama Umno kemudiannya disusuli MIC dilaporkan bertujuan memperkukuhkan kerjasama pembangkang di negara ini.

    Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata ketika kaum India, Cina dan Melayu diperhambakan oleh penjajah, tiga kaum ini telah bersatu untuk bersama menentang penjajah.

    "Kita sama-sama menuntut kemerdekaan. Ketika pilihan raya (Persekutuan Tanah Melayu) yang pertama (pada 1955), parti yang bertanding ialah Perikatan, Umno, MIC, MCA dan PAS. PAS satu-satuhya parti pembangkang yang menang, satu kerusi sahaja.

    "Yang lain parti Perikatan gabungan Umno, MCA dan MIC. Walaupun kita pembangkang tetapi sama-sama kita menuntut kemerdekaan.

    “Kerjasama menuntut kemerdekaan antara parti Perikatan dengan PAS ketika itu membuka lembaran baru kepada negara apabila satu memorandum Suruhanjaya Reid dikemukakan kepada penjajah sebagai menuntut menggubal perlembagaan negara,” kata Abdul Hadi.

    Anggota Parlimen Marang itu berkata demikian ketika berucap ketika mengadakan kunjungan muafakat PAS ke Ibu Pejabat MIC di Kuala Lumpur.

    Sementara itu, MIC hari ini mendapat banyak liputan positif dari organ rasmi PAS itu. Empat laporan berkaitan parti itu disiarkan hari ini.

    Kunjungan julung kalinya itu sebagai manifestasi mengesahkan PAS secara rasmi bekerjasama dengan parti MIC dalam pelbagai aspek demi kepentingan rakyat di negara ini.

    Rombongan PAS disertai Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), N. Balasubramaniam.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih