malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Palsu tuntutan rawatan kesuburan RM200k, pembantu tadbir didakwa
Diterbitkan:  Mar 29, 2019 11:50 AM
Dikemaskini: 3:50 AM
ADS

Seorang pembantu tadbir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuantan hari ini, atas 32 tuduhan membuat tuntutan palsu berkaitan rawatan perubatan kesuburan bernilai RM209,233, sejak tahun 2014.

Pengakuan Mazuin Zulkifli, 33, yang berasal dari Taman Impianku di Jalan Sungai Lembing di Kuantan, direkodkan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 10 Oktober 2014 hingga 25 Oktober 2017 dengan mengemukakan Borang Perubatan 1/90 beserta resit-resit rawatan yang berjumlah antara RM3,243 hingga RM9,000 di Pusat Kesuburan Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Kuantan.

Wanita bertubuh kecil itu didakwa melakukan kesalahan itu semasa dia berkhidmat di Jabatan Perhutanan Pahang dan Jabatan Pertanian Pahang, memandangkan dia ditukarkan ke jabatan itu pada tahun 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai kesalahan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh dengan syarat tambahan tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar bagaimanapun merayu supaya jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya hanya memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM2,500.

"Tertuduh hanya dimaklumkan tarikh ke mahkamah pada dua hari lalu, dan dalam tempoh masa yang singkat itu, anak guam saya hanya mampu mengumpulkan wang sebanyak RM15,000 untuk jaminan.

"Kakak tertuduh bersedia untuk menjadi penjamin. Malah sepanjang siasatan, tertuduh sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM dan tidak pernah berniat untuk melarikan diri," katanya.

Mohd Ghazali membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap awal bulan.

Beliau menetapkan 29 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

- Bernama

Lihat Komen