malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya datang ke Lunas untuk membantu Saifuddin Nasution Ismail, calon Parti Keadilan Nasional. Saya sempat berceramah di depan masyarakat Cina di pekan Lunas dan juga Kilang Sago.

Saya bercakap hanya mengenai isu itu sahaja, Sekolah Wawasan. Walaupun saya mahu Barisan Alternatif menang; walaupun saya mahu meraih undi untuk Saifuddin tetapi saya tegas mengingatkan diri saya sendiri supaya bercakap sebagai seorang ahli politik yang jujur dan bermaruah. Saya perlu bertanggungjawab tentang apa yang saya cakapkan.

Saya bernasib baik kerana sebelum datang ke Lunas telah sempat berbincang dengan kepimpinan Parti Rakyat Malaysia mengenai isu Sekolah Wawasan itu. Selain itu saya agak beruntung kerana dapat bersama-sama dalam delegasi 12 orang pemimpin PRM mengadakan dialog dengan Dong Jiao Zong (DJZ) di Kajang pada hari Rabu 22 November lalu.

Ramai anggota masyarakat kita, terutamanya orang Melayu tidak kenal apakah itu DJZ dan mengapa mereka membantah penubuhan Sekolah Wawasan.

DJZ adalah nama kolektif bagi dua badan peringkat nasional bagi sekolah-sekolah Cina. Yang pertama ialah Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong). Satu lagi ialah Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Apabila dua nama pertubuhan itu digabungkan, ia dipanggil dengan ringkas sebagai Dong Jiao Zong. Dong bererti jawatankuasa; jiao bererti guru-guru; dan zong bererti pertubuhan nasional.

Jadi, sedikit sebanyak saya faham tentang pendirian DJZ dalam isu itu. Saya tidak bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di Kubang Pasu pada 26 November lalu, yang menuduh DJZ sebagai golongan pelampau Cina kerana membantah penubuhan Sekolah Wawasan.

Sebenarnya, Dr Mahathir kecewa dan marah kerana Dong Jiao Zong kelihatan menyokong Barisan Alternatif menjelang pilihanraya kecil Lunas, 29 November lalu.

Dari perbincangan pemimpin PRM-DJZ selama tiga jam di Kajang, saya berani berkata bahawa Dr Mahathir telah tersilap kerana menuduh pertubuhan pendidikan itu sebagai golongan ekstremis. Mereka bukan golongan ekstremis. Mereka adalah ahli pergerakan pendidikan Cina yang ingin menjaga dan melindungi kelangsungan sekolah-sekolah Cina.

Mereka juga menginginkan perpaduan kaum dan rakyat di negara ini. Mereka hanya membantah penubuhan Sekolah Wawasan.

Alasan DJZ

Bantahan itu ada sebab-sebabnya. Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan sebab-sebab itu, wajar untuk kita faham terlebih dahulu dan melihat dengan fikiran terbuka apakah alasan-alasan bantahan DJZ itu.

Tetapi sebelum itu patut difahami apakah itu konsep Sekolah Wawasan. Konsepnya ialah menempatkan dua atau tiga buah sekolah rendah berlainan aliran dalam kawasan yang sama dan berkongsi kemudahan yang ada.

Kata kerajaan, sekolah itu untuk menggalakkan integrasi dan memupuk perpaduan di kalangan murid-murid pelbagai kaum. Tetapi DJZ tidak bersetuju dengan konsep itu kerana pada akhirnya apa yang dilakukan itu menuju kepada penggabungan sekolah-sekolah berkenaan. Dengan perkataan lain, DJZ bimbang lama-kelamaan sekolah-sekolah Cina yang ada sekarang akan pupus beransur-ansur.

Hujah-hujah bantahan Dong Jiao Zong ialah:

(a) Jalan atau pintu masuk yang sama, bangunan yang sama atau bangunan-bangunan yang disambung di antara satu sama lain dengan jambatan penghubung semuanya bererti secara fizikal hanya terdapat sebuah sekolah sahaja;

(b) Waktu rehat yang sama, perhimpunan bulanan yang sama, peserta pertandingan aktiviti kurikulum atau kokurikulum dihantar sebagai satu pasukan Sekolah Wawasan, mengadakan secara bersama temasya sukan tahunan, hari guru dan hari kantin, semuanya bererti sebahagian pentadbiran sekolah-sekolah itu telah digabungkan;

(c) Setiap Sekolah Wawasan akan membentuk satu Jawatankuasa Penyelaras yang terdiri daripada Guru Besar dan guru sekolah masing-masing. Penubuhan jawatankuasa itu bererti kuasa guru besar sekolah-sekolah berkenaan akan tersekat.

Perkara-perkara yang dahulunya boleh diputuskan oleh guru besar itu sendiri sekarang perlu dapat kelulusan daripada Jawatankuasa Penyelaras;dan

(d) Penubuhan jawatankuasa penyelaras itu akan menjadikan Lembaga Pengelola sekolah rendah Cina berkenaan kehilangan kedudukan dan kuasanya. Bagi masyarakat Cina, Lembaga Pengelola adalah penjaga dan pelindung sekolah rendah Cina. Sebarang tindakan yang cuba melemahkan atau menghapuskan kedudukan dan kuasa lembaga pengelola sekolah rendah Cina dilihat sebagai satu ancaman kepada kedudukan sekolah rendah Cina berkenaan.

Demikianlah pendapat DJZ mengenai Sekolah Wawasan seperti yang tercatat dalam satu dokumen yang bertajuk Soalan-soalan Mengenai Projek Sekolah Wawasan yang dikemukakan dalam dialog pertubuhan itu dengan PRM.

Kebimbangan Cina

Terdapat sesetengah pihak telah salah anggap tentang pendirian DJZ itu, lalu menuduh pertubuhan itu tidak inginkan perpaduan antara murid-murid pelbagai kaum, dan seterusnya menuduh DJZ tidak patriotik. Kini Mahathir pula menuduh mereka sebagai ekstremis Cina.

Untuk bersikap adil perlu disebut bahawa Dong Jiao Zong menyokong usaha-usaha menggalakkan interaksi antara murid-murid pelbagai kaum. Tetapi ia berpendapat pentadbiran serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran sekolah masing-masing tidak harus diganggu.

DJZ tidak setuju jika sekolah-sekolah dijadikan sasaran untuk digabungkan, meski atas alasan "menggalakkan semangat integrasi antara murid-murid". Seterusnya Dong Jiao Zong berpendapat bahawa adalah baik menggalakkan interaksi demi memupuk semangat toleransi dan perpaduan antara murid-murid pelbagai kaum melalui aktiviti-aktiviti luar bilik darjah seperti yang disenaraikan dalam Rancangan Integrasi Murid-Murid Untuk Perpaduan Tahun 1986 .

Dalam ceramah-ceramah kepada masyarakat Cina di Lunas, saya berkata saya faham akan kebimbangan mereka terhadap cadangan kerajaan itu. Kebimbangan itu ada asasnya. Saya melihat kerajaan Barisan Nasional telah melakukan kesilapan dalam isu Sekolah Wawasan.

Kerajaan BN mendakwa konsep sekolah itu bertujuan untuk menyatukan rakyat. Tetapi masyarakat Cina pula menganggapnya adalah titik permulaan ke arah lenyapnya sekolah-sekolah Cina. Kekalahan BN di Lunas ada kait mengaitnya dengan isu sekolah ini.

Di Pekan Lunas dan di Kilang Sago, saya memberitahu, sikap bimbang masyarakat Cina itu berpunca antaranya kerana sikap kerajaan BN yang mahu melaksanakan Sekolah Wawasan itu secara paksa, iaitu cadangan datang dari atas.

Tidak dinafikan ada perbincangan antara kerajaan dengan DJZ dalam projek sekolah wawasan. Tetapi pandangan DJZ tidak diambil kira. Perbincangan itu tidak ikhlas. Kerajaan kelihatan memaksakan keputusannya terhadap DJZ dan masyarakat Cina mengenai satu perkara yang menentukan masa depan sekolah Cina. DJZ dan masyarakat Cina dipaksa supaya terima.

Pada pandangan saya, sesuatu dasar yang dilakukan secara paksa terutama yang menyentuh soal pendidikan bahasa ibunda, sekiranya diteruskan juga, dikhuatiri ia boleh membawa perpecahan rakyat, walaupun matlamat asalnya dikatakan mahu mewujudkan perpaduan.

Semasa dialog PRM dengan DJZ, saya bercakap berterus-terang di hadapan para pemimpin pertubuhan pendidikan Cina itu bahawa saya masih percaya, dalam usaha kita mahu membentuk satu masyarakat Bangsa Malaysia yang bersatu-padu, faktor Bahasa Kebangsaan dan Sistem Pendidikan Kebangsaan dengan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar adalah penting kerana ia dapat membantu mencapai tujuan tersebut.

12 tuntutan

Saya menegaskan perkara itu walaupun saya menyedari akan pendirian DJZ dalam soal tersebut seperti yang tercatat di dalam Deklarasi Pendidikan Bahasa Ibunda Dong Jiao Zong Tahun 1999 yang menyebut 12 tuntutan kepada pihak yang berkuasa. Antara tuntutan itu (tuntutanyang kedua) ialah "untuk menyingkirkan dasar pendidikan satu bahasa."

Saya menyedari bahawa perpaduan kaum tidak hanya ditentukan semata-mata oleh faktor adanya satu sistem pendidikan yang anak-anak kita berada di bawah bumbung yang sama. Banyak faktor lain turut menentukan bersatu atau tidaknya masyarakat Malaysia. Tetapi apa yang mahu disentuh sekarang ialah isu Sekolah Wawasan.

Perbezaan misalnya, antara pendirian saya dengan DJZ dalam soal Dasar Pendidikan Kebangsaan secara keseluruhannya boleh dibincangkan pada lain kesempatan. Yang penting pada ketika ini perlu banyak dialog dan perbincangan supaya salah faham dapat dihindarkan dan mencari jalan pemuafakatan. Sepatutnya pendekatan seumpama ini diambil oleh kerajaan.

Di hadapan masyarakat Cina di Lunas, saya berkata adalah tidak adil, malah zalim, jika sekolah-sekolah Cina yang ada sekarang dihapuskan. Kepada mereka saya tegaskan bahawa adalah satu hak asasi bagi setiap anak-anak di negara kita ini untuk mendapat pendidikan dalam bahasa ibunda mereka sendiri.

Bagi anak Cina bererti pendidikan dalam bahasa Cina. Bagi anak-anak India bererti pendidikan dalam bahasa Tamil. Ini satu hak asas manusia.

Dalam soal bahasa ibunda, DJZ dalam deklarasinya berkata, "Bahasa ibunda adalah jiwa sesuatu kaum dan adalah cara bagi kaum itu untuk meneruskan warisan kebudayaan, dan ia berkait rapat dengan status, maruah dan identiti kaum. Penerimaan ke atas kewujudan dan perkembangan bebas pendidikan bahasa ibunda adalah realisasi kesamaan antara kaum dalam bidang pendidikan."

Ada beberapa perkara yang saya tidak bersetuju dengan DJZ dalam hal-hal mengenai dasar pendidikan negara, seperti yang saya sebut di atas. Tetapi dalam soal bantahan DJZ terhadap Sekolah Wawasan, saya mempunyai pendirian yang agak rapat dengannya.

Satu perkara yang saya tegaskan di Lunas ialah perlunya kerajaan menghormati dan memberi jaminan terhadap kepelbagaian dalam soal pendidikan bahasa ibunda dan budaya di negara Malaysia yang pelbagai kaum dan kebudayaan ini. Sikap toleransi yang berprinsip perlu diamalkan. Pendekatan secara paksa-paksaan oleh kerajaan tidak wajar digunakan.

Di hadapan seorang tokoh pendidikan Cina yang terkenal, Lee Ban Chen dan ramai bekas ahli-ahli Parti Buruh dan Barisan Sosialis serta ahli-ahli PRM, DAP dan Parti Keadilan Nasional yang berketurunan Cina yang mendengar ucapan saya di Kilang Sago itu, saya berkata secara terus-terang bahawa Sistem Pendidikan Kebangsaan dengan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar adalah penting untuk dikembangkan dan dimajukan bagi tujuan perpaduan rakyat dan pembinaan masyarakat Malaysia yang bersatu padu pada masa sekarang dan juga hadapan.

Tindakan kerajaan sentiasa dikaji

Tetapi dalam nafas yang sama, saya juga tegaskan bahawa kerajaan apapun di negara kita inimesti menjamin sekolah rendah Cina dan Tamil memberikan pendidikan dalam bahasa ibunda mereka seperti sekarang. Malah sejak sekian lama kewujudan sekolah-sekolah itu di negara kita ini supaya dipelihara, dibantu dan dijamin kelangsungannya.

Para menteri dan pemimpin kerajaan BN selalu berkata bahawa mereka tidak berhajat untuk menghapuskan sekolah-sekolah Cina. Mereka berkata, tidak ada agenda tersembunyi untuk melenyapkan sekolah-sekolah Cina. Itu kata mereka.

Pendapat masyarakat Cina khususnya di kalangan DJZ lain pula. Mereka mengkaji dan meneliti setiap tindakan kerajaan dari dulu hingga sekarang berhubung isu sekolah Cina.

Satu aspek yang penting sekali ialah soal undang-undang. Mereka melihat Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996 sebagai ancaman ke atas kelangsungan sekolah-sekolah Cina di negara ini dari sudut undang-undang.

Mereka melihat kewujudan akta-akta itu seperti sebilah kapak tajam yang boleh memusnahkan masa depan sekolah-sekolah Cina sekiranya kerajaan yang berkuasa mahu menguatkuasakannya. Dari segi undang-undang, kebimbangan masyarakat Cina itu ada asasnya.

Dalam dialog PRM-DJZ pada 22 November lalu, penasihat undang-undang pertubuhan itu Yong Pei Keng menghuraikan isu Sekolah Wawasan dari perspektif undang-undang. Beliau adalah seorang peguam dari Johor Bahru dan kenalan baik saya. Di Lunas, saya sempat bertemu beliau seketika.

Ini mengingatkan lagi saya kepada isu keadilan, isu hak asasi manusia, isu demokrasi yang diucapkan oleh Yong Pei Keng. Mungkin tidak semua yang beliau katakan itu saya bersetuju, tetapi hujah-hujahnya mengenai hak mendapat pendidikan dalam bahasa ibunda sebagai satu hak asasi manusia, satu bentuk keadilan yang tidak wajar dinafikan, saya turut kongsi.

Pada petang Ahad, tiga hari sebelum membuang undi, saya sempat membeli sebuah akhbar tabloid, Berita Keadilan , terbitan Keadilan (30 November, 2000). Saya dapati terdapat sebuah tulisan saya bertajuk "Apakah arah perjuangan politik kita?"

Antara lain saya menulis: "Apabila kita bercakap tentang keadilan, kita bermaksud keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, budaya dan agama. Begitu juga, apabila kita bercakap tentang hak asasi manusia, maka kita bermaksud hak asasi bagi semua manusia. Ini jelaslah satu cabaran kepada kita semua.

"Kita mahu membina satu sistem politik, ekonomi dan sosial yang adil. Hanya dengan keadilan, barulah sebuah masyarakat adil dapat dibangunkan."

Jadi isu Sekolah Wawasan perlu ditangani dengan memberikan perhatian utama kepada soal keadilan, hak asasi manusia dan juga demokrasi. Jambatan harus dibina untuk menghubungi pendirian-pendirian yang berbeza di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara kita ini dalam isu-isu sensitif seperti pendidikan, bahasa, agama dan budaya.

Toleransi perlu dipupuk; dialog perlu diperluaskan dan keazaman yang kuat untuk membina satu masyarakat yang harmoni, bersatu dan aman amat diperlukan.


HASSAN KARIM merupakan Naib Presiden, Parti Rakyat Malaysia (PRM)


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.