Pengiklanan

    Siasatan selesai, kumpulan cetus kekecohan majlis santai Najib akan didakwa

    (Dikemaskini )

    Mereka yang terlibat dalam kekecohan di seberang jalan Restoran Amjal, di pintu masuk Universiti Malaya di Kuala Lumpur ketika majlis sembang santai bersama bekas perdana menteri Najib Razak akan dikenakan pertuduhan di mahkamah tidak lama lagi.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata kertas siasatan mengenai kejadian itu telah diserahkan ke Pejabat Peguam Negara semalam dan keputusan telah dibuat.

    "Pihak Polis Kuala Lumpur telah menjalankan siasatan di mana 15 laporan telah dibuat dan 28 rakaman percakapan telah diambil dan siasatan telah selesai.

    "Kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak AG semalam dan telah dapat keputusan.Tindakan selanjutnya akan diambil untuk membuat pertuduhan terhadap mereka yang melakukan kesalahan yang berkaitan," maklum beliau kepada Malaysiakini.

    Mazlan berkata pihak polis merekodkan kenyataan daripada 28 individu mengenai kejadian tersebut.

    Plakad karikatur sindir Najib

    Kekecohan tercetus selepas penyokong Najib menghampiri enam siswa Universiti Malaya (UM) yang memegang plakad mengkritik dan menyindir bekas perdana menteri. Ini termasuklah plakad karikatur menyindir Najib berwajah badut.

    Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam yang mengetuai beberapa penyokongan mengoyakkan plakad karikatur berkenaan.

    Ketika kekecohan, seorang lelaki mencekik pelajar UM Wong Yan Ke dari belakang dan memukulnya.

    Pada suatu kenyataan kemudian, Lokman mendakwa lelaki tersebut hanya lalu di situ dan terkejut dengan tindakan siswa berkenaan.

    Pemimpin Umno itu juga menyifatkan penuntut UM terbabit sebagai "penyokong DAP" yang sepatutnya berterima kasih kepada penyokong Najib yang menyelamatkannya daripada dipukul.

    Seorang anggota Umno juga membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan mendakwa pelajar terbabit melakukan provokasi.

    Selepas kekecohan itu, Lokman dan pemimpin akar umbi Umno mendekati dua wartawan pelatih Malaysiakini yang membuat liputan majlis sembang santai Najib itu.

    Kedua-dua pemimpin Umno yang terkejut dengan laporan Malaysiakini mengenai kejadian pelajar UM dan penyokong Najib itu kemudiannya mengasari dua wartawan pelatih itu secara fizikal dan lisan.

    Wartawan pelatih Malaysiakini telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.

    [Baca berita penuh]

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih