malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Sertai Statut Rome bagus, tetapi k'jaan tergesa-gesa'
Diterbitkan:  Mar 27, 2019 9:24 AM
Dikemaskini: 1:25 AM
ADS

Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menyambut baik tindakan kerajaan menyertai Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tetapi berpandangan proses tersebut memiliki "kecacatan".

Beliau berkata kerajaan kelihatan tergesa-gesa dalam menyertai statut tersebut dan tidak membawanya ke Parlimen dan Majlis Raja-raja.

"Banyak kebaikan (penyertaan negara) dalam hubungan Malaysia dengan dunia antarabangsa. Hanya tindakan tergesa-gesa menandatangani Statut Rome itu kelihatan gopoh.

"Kerajaan sepatutnya sedar Malaysia negara demokrasi berparlimen, bukan autokrasi. Rakyat dan Parlimen perlu dirundingi... Institusi raja-raja juga perlu dihormati dan dibawa berunding sebelum sesuatu undang-undang antarabangsa yang mengikat negara ditandatangani.

"Biar prosesnya lambat, asalkan negara selamat... Apa yang berlaku sekarang seperti peribahasa 'rumah siap pahat berbunyi'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Statut Rom adalah perjanjian antarabangsa yang mewujudkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang membicarakan empat jenayah antarabangsa utama - penghapusan etnik, jenayah kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Jemaah Menteri memutuskan supaya negara menyertai statut berkenaan pada 12 Dis tahun lalu dan disembahmaklum kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah pada 15 Januari lalu.

Kerajaan kemudian mengumumkan penyertaan negara dalam statut itu pada 5 Mac lalu.

Minggu lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam titah ucapan sempena hari keputeraan baginda menyifatkan tindakan kerajaan persekutuan yang menandatangani Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Hassan bagaimanapun berkata statut itu tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak mengancam kedudukan istimewa Melayu dan Islam serta institusi raja-raja.

Malah katanya lagi, Malaysia tiada locus standi untuk menuntut ICC bertindak ke atas pihak yang melakukan pembunuhan beramai-ramai - di Palestin dan Bosnia misalnya - jika tidak menandatangani statut itu.

Lihat Komen