malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M terpaksa terbang laluan jauh: India, Pakistan tuding-menuding
Diterbitkan:  Mar 26, 2019 9:09 PM
Dikemaskini: 1:09 PM
ADS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terpaksa mengikuti laluan penerbangan yang lebih jauh ketika melakukan perjalanan ke Pakistan pada Khamis lalu selepas laluan penerbangan asalnya tidak diluluskan.

Bagaimanapun, kedua-dua Pakistan dan India saling tuding-menuding mencari salah negara manakah yang bertanggungjawab menjadikan pesawat Airbus ACJ319 yang menerbangkan Dr Mahathir terpaksa mengikuti laluan penerbangan yang lebih jauh.

Dakwaan tersebut pertama kali terbit pada akhbar berpengkalan di Pakistan, The News International yang menuduh Perdana Menteri India Narendra Modi menolak untuk meluluskan penerbangan Mahathir melalui ruang udara India.

Memetik sumber, akhbar Pakistan itu berkata: "Kelulusan ditarik balik pada saat akhir, memaksa perdana menteri Malaysia mengambil laluan penerbangan yang lebih jauh melewati Laut Arab dan merentas Oman sebelum kembali ke Islamabad."

Malaysiakini meminta penjelasan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia yang kemudiannya memberikan rujukan terhadap suatu laporan media berpengkalan di India, ANI News.

ANI memetik sumber kerajaan berkata Pakistan yang menghalang laluan penerbangan Mahathir.

Laporan itu menyebut secara khusus Pakistan telah melarang semua laluan penerbangan yang memasuki negaranya melalui India.

"Sebenarnya Pakistan telah menyekat ruang udaranya sendiri dari penerbangan yang melalui India. 

"Oleh itu, walaupun Direktorat Am Penerbangan Awam telah memberikan pelepasan overflight (melalui ruang udara) kepada penerbangan perdana menteri Malaysia, ia perlu mengambil jalan lebih lama kerana Pakistan menafikan kelulusan.

"Ini cukup pelik kerana Pakistan tidak dapat membuat pengecualian terhadap tetamu hari kebangsaan mereka dari Malaysia dan mengakibatkan penerbangan lebih lama oleh perdana menteri Malaysia," jelas pegawai itu dipetik sebagai berkata.

India dan Pakistan telah mengenakan sekatan antara satu sama lain berikutan peningkatan ketegangan di Kashmir, wilayah pertikaian yang melibatkan kedua-dua negara.

Larang filem, batal acara sukan

Ini susulan serangan berani mati terhadap kakitangan keselamatan India di wilayah Kashmir yang ditadbir India yang mengorbankan 46 nyawa.

Pada 26 Februari lalu pula, Angkatan Udara India melancarkan serangan di Balakot, Pakistan terhadap apa yang dikatakannya sebagai menyasarkan pangkalan militan.

Pada keesokan harinya, Pakistan pula melancarkan serangan balas di kawasan Kashmir yang ditadbir India dan menembak jatuh jet pejuang India yang bertindak balas terhadap serangan itu serta menangkap juruterbangnya.

Juruterbang itu dikembalikan ke India pada 1 Mac lalu sebagai "isyarat perdamaian".

Selain tindakan ketenteraan, kedua-dua negara juga saling melarang filem keluaran jiran masing-masing dan membatalkan acara sukan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen