malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Semakan rekod pesalah jenayah seksual kanak-kanak mulai 1 April - Hannah
ADS

Mulai 1 April, semakan sama ada seseorang individu mempunyai rekod kesalahan jenayah seksual atau tidak boleh dibuat melalui Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh 

Beliau berkata orang ramai terutama ibu bapa yang ingin mendapatkan khidmat pengasuh, pengusaha pusat jagaan yang ingin memeriksa latar belakang pemohon kerja dan semua pusat kemudahan yang melibatkan kanak-kanak juga boleh menggunakan sistem berkenaan.

Beliau berkata semakan secara percuma itu boleh dibuat di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan daerah dengan memberikan nombor kad pengenalan atau pasport milik individu yang perlu disemak.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran sistem semakan berkenaan Hannah berkata semakan di JKM negeri boleh mendapat keputusan serta-merta manakala semakan di JKM daerah memerlukan lima hari bekerja.

"Semakan hanya akan memberikan jawapan ada rekod atau tiada rekod sahaja. Butiran mengenai ke salahan yang dilakukan tidak akan diberikan kerana ia adalah maklumat sulit dan persendirian,”katanya.

"Jika individu berkenaan ada rekod sabitan jenayah seksual kanak-kanak, masa diperlukan untuk menyemak sama ada kes yang disabitkan di peringkat rayuan atau tidak," katanya.

Beliau berkata sistem semakan berkenaan menyenaraikan lebih 3,000 nama pesalah jenayah seksual yang disabitkan kesalahan sejak 2017 sehingga 28 Februari 2019.

"Jumlah ini semakin bertambah dan ia akan dikemas kini setiap bulan," tambah beliau.

Menurutnya majoriti mereka yang disabitkan dengan kesalahan jenayah seksual kanak-kanak merupakan pesalah kali pertama.

Sebagai contoh, katanya pada 2017, daripada 314 individu yang disabitkan kesalahan, 300 merupakan pesalah kali pertama dan 14 lagi merupakan pesalah berulang.

Pada 2018 pula, daripada 639 individu yang disabitkan kesalahan, 605 orang merupakan pesalah pertama manakala 34 merupakan pesalah berulang.

Katanya lagi, sistem semakan berkenaan melibatkan 3,000 nama kerana ia turut melibatkan kesalahan akta lain yang melibatkan kanak-kanak namun buat masa ini, semakan yang boleh dibuat hanya terhad untuk kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak sahaja.

- Bernama

Lihat Komen