malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
LIMA’19 imbau detik nostalgia buat Dr M
ADS

Kehadiran Dr Mahathir Mohamad merasmikan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) edisi ke-15 hari ini, turut menjadi detik-detik nostalgia buat Perdana Menteri.

Ia mengimbau kembali peristiwa 28 tahun yang lalu pada 1991, ketika beliau melancarkan edisi pertama pameran itu yang berkembang menjadi pameran maritim dan aeroangkasa terkemuka di rantau Asia Pasifik.

Beliau tidak menyembunyikan perasaannya: “Edisi ke-15 LIMA mengimbau kembali edisi 1991 apabila saya melancarkan Rangka Tindakan Pembangunan Industri Aeroangkasa Pertama di Malaysia.

"Ia merupakan satu langkah berani untuk sesetengah orang dan langkah awal bagi orang lain. Tetapi apabila melihat kepada apa yang kita ada sebelum ini dengan pembangunan aeroangkasa hari ini, ia adalah langkah penting untuk memastikan Malaysia seiring dengan pemangkin dan industri pesat berkembang," katanya dalam ucapan perasmian LIMA’19.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri keempat Malaysia ketika itu. LIMA terakhir yang dirasmikannya ialah pada 2003 sebelum meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Hari ini, 16 tahun kemudian, beliau melancarkan LIMA sekali lagi, dan sebagai perdana menteri ketujuh.

Dr Mahathir yang sinonim dengan LIMA, bangga melihat LIMA masih dapat menarik peserta maritim dan aeroangkasa antarabangsa serta perniagaan dari seluruh pelosok dunia.

Pada 1991, sebanyak 172 negara dari 20 negara mengambil bahagian pada LIMA pertama.

Hari ini, pada edisi ke-15, menyaksikan LIMA menjadi tuan rumah delegasi perniagaan dari 32 negara dan 406 syarikat pertahanan dan komersial dengan 200 perniagaan antarabangsa.

Semua produk dan perkhidmatan mereka akan dipamerkan sepanjang pameran lima hari, sehingga 30 Mac di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL).

Kira-kira 42,000 pelawat perdagangan dijangka berhimpun di LIMA`19, bukan sahaja untuk melihat produk dan perkhidmatan terkini yang ditawarkan peserta pameran tetapi juga meneroka potensi perniagaan terutamanya dengan syarikat berpangkalan di Malaysia.

LIMA`19 terdiri daripada 60 peratus pertahanan dan 40 peratus komersial dianjurkan secara bersama oleh EN Projects (M) Sdn Bhd, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan.

Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan disokong oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi-sgensi di bawahnya dalam menganjurkan seminar industri, mesyuarat perniagaan dan perbincangan untuk menggalakkan penglibatan perniagaan serta menampilkan inisiatif kerajaan terhadap pembangunan industri kemudahan perdagangan.

- Bernama

Lihat Komen