malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
PH dapat apa tutup kes Adib, soal Ramasamy
Diterbitkan:  Mar 26, 2019 5:18 PM
Dikemaskini: 9:18 AM
ADS

Pemimpin Umno perlu menahan diri untuk tidak mencetuskan ketegangan kaum dalam percubaan mereka mengaut pulangan keuntungan politik daripada kematian pegawai bomba allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, kata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy hari ini.

Pemimpin DAP itu berkata adalah tidak masuk akal dakwaan kerajaan cuba menutup kejadian tersebut atau Peguam Negara Tommy Thomas melindungi orang yang dituduh.

"Mereka yang menjaja dakwaan ini berharap kami percaya kerajaan akan menutup kes ini untuk memihak kepada kaum India dengan risiko mencetuskan kemarahan pengundi Melayu.

"Apakah yang pentadbiran PH atau peguam negara dapat dengan berbuat demikian? 

"Kerana hendak menang sokongan India dan hilang sokongan orang Melayu, yang membentuk majoriti di negara ini? Ini tidak munasabah.

"Daripada mendakwa 'terdapat cubaan menutup kes' barangkali pihak yang membuat tuduhan boleh memberitahu kami apa yang boleh dicapai PH dengan melakukan hal ini. Saya juga tidak tahu," katanya kepada Malaysiakini.

Ketika era BN, kata Ramasamy tuduhan cuba menutup kes cukup berleluasa, terutamanya apabila ia melibatkan orang India yang mati dalam tahanan atau terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan polis.

Justeru itu, beliau menggesa pihak yang mengeksploitasi kematian Adib untuk kepentingan politik supaya menghormati allahyarham dan keluarganya.

Elak 'guna' isu demi politik

"Apa yang terjadi kepada allahyarham Adib merupakan peristiwa yang paling tragis. Seorang lelaki muda telah kehilangan nyawanya. Saya pasti orang yang disayanginya mahukan jawapan.

"Inkues yang berterusan meneliti keadaan yang menyebabkan kematiannya bertujuan untuk mencari puncanya. Inkues tersebut diadakan kerana keadaan di sekitar kematiannya yang samar-samar, dan terdapat penjelasan yang bercanggah mengenai apa yang terjadi.

"Jadi, tunggu sehingga inkues itu selesai dan keputusan akan disampaikan. Tolong jangan mengeksploitasi isu ini hanya kerana politik," katanya lagi.

Ramasamy berkata jika inkues itu mendapati kecederaan Adib berpunca daripada serangan semasa rusuhan Kuil Seafield Sri Maha Mariamman November lalu, maka tindakan mesti diambil terhadap pelakunya.

Beliau mengulas tindakan ahli majlis tertinggi Umno Lokman Noor Adam yang mengulangi tuduhan PH cuba menutup kes Adib dalam hantaran di blog hari ini.

Jumaat lalu, pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Ahmad Hafizam Hasmi memberitahu inkues bahawa kecederaan anggota bomba itu lebih disebabkan oleh kesan kenderaan yang menghentaknya, berbanding dengan dipukul.

Walau bagaimanapun, Lokman, yang menyediakan rakaman video, mempertikaikan tuntutan ini.

Pada 10 Disember lalu, empat lelaki, berusia antara 21 dan 24 tahun, yang ditahan selama empat hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh berhubung kematian Adib, dibebaskan dengan ikat jamin.

Dalam hantarannya, Lokman menggesa peguam negara untuk mengenakan pertuduhan terhadap empat orang itu serta pemimpin Umno itu mendakwa DAP dan PKR akan lantang bersuara sekiranya si mati ialah orang Cina, seperti mendiang Teoh Beng Hock.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen