malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kecederaaan garis lurus di belakang Adib bukan akibat parang
ADS

INKUES l Kecederaan yang dikesan di belakang badan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak mungkin disebabkan oleh belakang parang, menurut pakar perubatan forensik Dr Ahmad Hafizam Hasmi hari ini.

Dalam perbicaraan hari ke-17 inkues kematian Adib, Hafizam memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam bahawa impak yang disebabkan belakang parang adalah tidak cukup kuat untuk menghasilkan luka seperti yang dialami oleh Adib.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah tentang posisi kedudukan Adib ketika kejadian yang mungkin menyebabkan kecederaaan anggota bomba itu.

Hamdan: Dari posisi mana mangsa boleh mendapat kecederaan sebegini?

Hafizam: Berdasarkan kesan patah pada rusuk belakang yang ketiga hingga ketujuh, mungkin si mati berada pada posisi berdiri semasa dia menerima impak daripada objek yang nipis [atau sempit = narrow], keras dan tegak (di belakangnya).

Hamdan: Bolehkah kecederaan ini disebabkan seseorang itu menghayun belakang parang ke atas si mati?

Hafizam: Kebarangkalian untuk mendapat kecederaan pada belakang kiri kalau menggunakan objek seperti itu (belakang parang) untuk kes ini adalah mustahil, memandangkan tulang rusuk ketiga hingga ketujuh patah.

Objek itu akan menghasilkan impak yang kuat kerana (gerakan) menghayun. Jika belakang si mati kena hayun (dengan objek seperti itu), hanya tulang rusuk yang menerima impak (dari belakang parang) itu akan patah.

Tapi dalam kes ini, mangsa pasti berada dalam posisi berdiri dan objek (yang memukul belakang Adib) juga dalam posisi tegak.

Jika seseorang menghayun objek yang tegak dengan daya sebegitu, tak akan memberikan kesan seperti ini (seperti yang dilihat di belakang Adib).

Jika ada hayunan (parang), kebarangkalian untuk patah di rusuk ketiga hingga ketujuh ini adalah mustahil berlaku, kerana ia (sepatutnya) meninggalkan kesan calar.

Tetapi belakang si mati tiada kesan calar. Sebaliknya, ia adalah kepatahan dalam garis lurus. Walaupun jika hayunan dilakukan dalam posisi condong (atau bengkok atau serong), pergerakan itu tidak akan menghasilkan kepatahan rusuk ketiga hingga ketujuh.

Tulang rusuk itu patah ke arah dalam apabila menerima impak dari belakang, dan ini hanya mungkin terjadi apabila rangka pintu sebelah kiri kenderaan EMRS (Jentera Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) terbuka.

Sebelum itu, Hafizam memberi keterangan bahawa Adib mungkin menerima kecederaaan daripada pintu belakang yang terbuka semasa dia turun dari van EMRS, ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield pada 27 November lepas.

Adib meninggal dunia pada 17 Disember, 9.41 malam di Institut Jantung Negara setelah kecederaan yang dialaminya pada malam rusuhan.

Inkues diadakan berikutan terdapat dua versi yang timbul berhubung punca kematian Adib.

Satu mendakwa dia dilanggar oleh kenderaan bomba manakala satu lagi mendakwa dia dipukul oleh perusuh.

Lihat Komen