malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sistem tanpa tunai mampu kurangkan rasuah - Menteri kewangan
Diterbitkan:  Mar 26, 2019 4:31 PM
Dikemaskini: 8:31 AM
ADS

Langkah memanfaatkan penggunaan sistem tanpa tunai di negara ini berupaya membantu dari segi mengurangkan gejala rasuah di negara ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pada masa sama, ia turut memudahkan usaha menjejaki perbuatan rasuah berkenaan.

“Gejala rasuah itu berpunca daripada wang. Oleh itu, tindakan mempraktikkan sistem tanpa tunai itu akan memudahkan usaha mengesan rasuah kerana ia meninggalkan jejak maklumat," katanya ketika menyampaikan ucap tama pada majlis pelancaran platform 'WeChat Pay' di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Lim memetik data Bank Negara Malaysia yang menunjukkan wang tunai berjumlah RM106 bilion dalam edaran ekonomi pada 2018 yang menyamai 7.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Penggunaan tunai secara relatifnya masih tinggi di Malaysia walaupun ia semakin berkurangan...dan angka yang dicatatkan pada 2018 adalah lebih rendah berbanding 2017 dan 2016 yang masing-masing 7.7 peratus dan 7.9 peratus

“Sebaliknya, ekonomi tanpa tunai yang ketara akan hanya mempunyai sekitar 2.0 peratus tunai dalam edaran atau lebih rendah, berdasarkan pengiraan pihak Tabung Kewangan Antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, penggunaan tunai yang rendah itu turut berkait rapat dengan peningkatan kaedah pembayaran secara dalam talian dan mudah alih di Malaysia.

Menurut Lim, walaupun penggunaan e-dompet masih rendah di Malaysia berbanding kad serta perbankan dalam talian namun industri tempatan sebaliknya masih menawarkan potensi pertumbuhan yang amat besar.

Malah, alasan itu turut menarik kehadiran Tencent International Business Group dari China yang juga pemilik platform WeChat untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pengembangan pertamanya di luar China.

“Bukan setakat WeChat, malah pelabur asing turut datang melabur ke Malaysia dan menyebabkan Pelaburan Langsung Asing di semua sektor melonjak 48 peratus kepada RM80.5 bilion pada 2018 berbanding RM54.4 bilion pada 2017,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WeChat Pay Malaysia, Jason Siew menyifatkan Malaysia antara pasaran sedang pesat membangun yang paling menonjol dan pantas melaksanakan pembayaran secara mudah alih.

“Kami sedang dalam proses mengembangkan jumlah pedagang/saudagar untuk membabitkan outlet yang lebih banyak. Pertambahan bilangan saudagar dan pengguna ini akan membolehkan WeChat Pay MY merancakkan lagi segmen gaya hidup digital yang selesa serta selamat di Malaysia," katanya.

Pada masa ini, lebih 3,500 saudagar di Malaysia menerima WeChat Pay bagi tujuan pembayaran tambah nilai telefon mudah alih, (pembelian) tiket penerbangan, menonton wayang dan lain-lain.

“Kami akan turut memperkenalkan penyelesaian yang memberi kemudahan kepada pengguna membeli petrol menerusi perkhidmatan ini.

“Mereka misalnya hanya perlu memilih stesen minyak dan memasukkan jumlah pembelian. Sebaik tiba di kiosk terbabit, kamera khas akan mengesan nombor pendaftaran kenderaan itu bagi mengaktifkan pam minyak itu," katanya.

- Bernama

Lihat Komen