malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengiktirafan AS ke atas Israel di Golan Heights jejas proses damai
ADS

GLOBAL | Pengiktirafan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terhadap kedaulatan Israel di Golan Heights akan terus meningkatkan lagi ketegangan dalam proses damai, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan timbalan menteri luar Kuwait pada Isnin.

Khaled Al-Jarallah membuat kenyataan tersebut di luar upacara yang diadakan Kedutaan Greece di Kuwait sempena hari kebangsaan negara Eropah itu.

"Kami menjangkakan dan berharap akan ada langkah yang diambil bagi meredakan ketengan di rantau ini. Malangnya, langkah ini akan terus membawa kepada ketegangan dan kemerosotan dalam proses damai yang belum mampu diselesaikan," katanya.

Golan Heights adalah wilayah Syria dan tindakan AS melanggar undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang Majlis Keselamatan PBB, kata Al-Jarallah.

Menyentuh sidang kemuncak Arab yang dijadualkan berlangsung pada akhir Mac di Tunisia, beliau berkata sidang kemuncak itu akan membincangkan beberapa topik termasuk isu Palestin, krisis Syria, situasi di Libya dan Yaman serta pengiktirafab AS bahawa Golan Heights adalah sebuah wilayah Israel.

Trump pada Isnin telah menandatangani satu pengisytiharan yang mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Golan Heights.

Israel telah merampas Golan Heights dari Syria dalam perang Timur Tengah 1967 dan mengilhakkannya pada 1980-an namun masyarakat antarabangsa tidak pernah mengiktiraf langkah itu.

- Bernama

Lihat Komen