Pengiklanan

    Ahli PAC dari BN, PAS akan letak jawatan jika Kiandee kekal pengerusi


    (Dikemaskini )

    Anggota parlimen BN dan PAS dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata mereka akan meletakkan jawatan daripada jawatankuasa itu sebagai bantahan terhadap keputusan kerajaan mengekalkan Ronald Kiandee sebagai pengerusinya.

    Bercakap dalam sidang media di Parlimen hari ini, ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob berkata ia sehinggalah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menimbang semula keputusannya itu dan memilih pengerusi baru di kalangan pembangkang.

    Ismail berkata ia selari dengan janji dalam manifesto PH untuk melantik pembangkang mengetuai jawatankuasa itu.

    "Keputusan daripada perjumpaan ahli Parlimen BN, kita cadang Noraini Ahmad (ahli Parlimen Parit Sulong) untuk jadi pengerusi.

    "Surat daripada BN dah dikeluarkan pada 1 Mac, (telah) maklumkan kepada speaker (tapi) tak ada respons, sehingga kenyataan perdana menteri kekalkan Ronald Kiandee," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

    Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga merupakan pengerusi PH meminta Kiandee untuk kekal memegang jawatan sebagai pengerusi PAC.

    Kiandee kemudian berkata dia akan mematuhi arahan Dr Mahathir.

    Ismail yang juga ahli Parlimen Bera itu turut berkata kenyataan Dr Mahathir itu bertentangan dengan manifesto PH pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

    Tambahnya, jumlah wakil rakyat PH dalam PAC telah melebihi anggota dari pembangkang.

    "Maknanya PH ada kuasa sepenuhnya dalam PAC, sedangkan tujuan dilantik daripada pembangkang supaya PAC boleh semak imbang lebih berkesan untuk lihat kes tertentu lihat daripada kerajaan.

    "Kita nampak ini satu penyelewengan daripada janji walaupun kita tahu janji lain tak ditepati, transformasi Parlimen ini diharapkan pengerusi PAC diberikan kepada pembangkang.

    "Semua ahli PAC pembangkang letak jawatan dan berikan sepenuh kuasa kepada kerajaan. Kita tidak akan berada dalam PAC sehingga kerajaan berikan jawatan pengerusi daripada pembangkang," katanya.

    Kiandee yang sebelum ini bersama BN bagaimanapun menyertai Bersatu yang merupakan parti komponen PH pada 15 Mac lalu.

    Susulan itu, pembangkang mencadangkan agar Kiandee digantikan oleh Noraini, yang juga merupakan ketua Wanita Umno.

    Beberapa pemimpin PH termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim, Hannah Yeoh, Nurul Izzah Anwar dan Sim Tze Tzin turut menggesa agar PH berpegang pada janji manifesto berhubung perkara itu.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih