malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khaled gesa kerajaan Johor segera bina Hospital Pasir Gudang
Diterbitkan:  Mar 24, 2019 12:51 PM
Dikemaskini: 4:51 AM
ADS

Kerajaan Johor perlu mempercepat pembinaan Hospital Pasir Gudang yang sudah dirancang sekian lama, susulan insiden pencemaran kimia di Sungai Kim Kim, kata bekas menteri besar Khaled Nordin.

Beliau berkata apatah lagi selepas peruntukan pun telah diumumkan dan majlis pecah tanah diadakan pada 4 Mei lalu.

“Namun, sehingga kini nampaknya masih belum ada sebarang perkembangan dan kemajuan

"Saya percaya tragedi pencemaran kimia ini wajar menjadi faktor pendesak dan pemangkin kepada penyegeraan pembinaan Hospital Pasir Gudang yang telah dirancang lama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pencemaran kimia di Pasir Gudang yang bermula awal bulan ini menyebabkan kira-kira 2,000 orang terpaksa menerima rawatan.

Kebanyakannya dirawat di dua hospital, iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), yang terletak kira-kira 30 kilometer daripada kawasan itu.

Menurut laporan, Khaled ketika masih menjadi menteri besar melakukan pecah tanah bagi projek itu pada 4 Mei lalu - ketika kempen PRU ke-14 - di Bandar Seri Alam, Plentong.

Khaled yang juga naib presiden Umno berkata lagi, kerajaan negeri sepatutnya serius meneruskan segera rancangan itu dengan kerjasama kerajaan persekutuan.

“Yang pasti, kepesatan pembangunan Pasir Gudang sebagai sebuah kawasan industri dan mempunyai penduduk yang ramai mesti dilengkapkan dengan infrastruktur serta prosedur keselamatan yang menyejahterakan semua pihak,” katanya lagi.

Hari ini tiga suspek kes pencemaran itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Lihat Komen